• Datuk Abdul Azeez Abdul RahimDatuk Abdul Azeez Abdul Rahim

KAHERAH - MESIR. Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) yang disertai Mercy Malaysia dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) ke Gaza, dijangka bergerak masuk ke wilayah bergolak itu melalui sempadan Rafah pada 12.30 pagi waktu tempatan (5.30 pagi waktu Malaysia) Sabtu.

Presiden KP1M, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, kelulusan untuk melalui Rafah diperoleh daripada kerajaan Mesir pada Khamis hasil perbincangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, setelah pelbagai usaha Sekretariat
KP1M sebelum ini berdepan kesulitan.

"Saya tak nak ganggu perdana menteri tetapi nampaknya susah (dapat kelulusan). Jadi, terpaksa minta beliau campur tangan. Akhirnya, semalam perdana menteri maklumkan kepada saya sendiri bahawa kelulusan (untuk melalui Rafah) telah dapat.

"Dan pihak Mesir telah menghubungi duta besar Malaysia di Mesir untuk buat persiapan rapi sebelum bertolak," katanya kepada pemberita selepas taklimat harian bersama sukarelawan Malaysia di sini, Jumaat.

Abdul Azeez, yang juga Pengerusi Biro Kebajikan Umno, berkata kerajaan Mesir hanya membenarkan 72 sukarelawan memasuki sempadan Rafah.

Berikutan itu, kumpulan misi kemanusiaan seramai 84 orang itu, yang turut disertai anggota Mercy Malaysia dan Mapim, akan dibahagi kepada dua kumpulan seperti perancangan awal, katanya. - Bernama