Saturday 16 August 2014

Israel bimbang AS kurangkan bantuan persenjataan


SEJUMLAH penduduk Palestin bersolat Jumaat di lokasi sebuah masjid yang musnah dalam serangan Israel di Bandar Gaza semalam. - AFP


BANDAR GAZA - Gencatan senjata yang rapuh di seluruh Gaza yang masuk hari kedua semalam mencetuskan ketegangan baharu antara Israel dan sekutunya Amerika Syarikat mengenai usaha mewujudkan keamanan di Palestin.
Washington turut menafikan laporan bahawa White House cuba mengurangkan penghantaran bantuan ketenteraan kepada Israel yang masih berhadapan dengan tentangan sengit tentera Hamas di Gaza.
Bagaimanapun Jabatan Negara mengaku bahawa penghantaran persenjataan telah dikaji semula ketika konflik yang telah meletus sejak 8 Julai lalu menyebabkan kematian 1,962 kematian penduduk Palestin dan 67 orang Israel.
Mesir yang menjadi pengantara proses gencatan senjata berjaya mendapat persetujuan melanjutkan tempoh gencatan lima hari lagi sejak Rabu lalu bagi memberikan ruang kepada wakil Israel dan Palestin meneruskan rundingan damai bagi jangka masa panjang.

SEORANG kanak-kanak mengisi air di dalam botol di sebuah sekolah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Bandar Gaza semalam. - AFP


Tentera Israel berkata, tiada tembakan roket Palestin sepanjang malam kelmarin, begitu juga tiada serangan udara dilancarkan Israel.
"Tiada apa-apa tembakan," kata jurucakap tentera kepada AFP.
Ekoran cuma tiga jumlah kematian melibatkan orang awam Israel berbanding ribuan penduduk Gaza yang terkorban, Israel kini berhadapan dengan tekanan daripada sekutu Barat bagi mengurangkan tindakan persenjataan.
"Hubungan dengan Amerika Syarikat adalah aset strategik yang tidak boleh dipandang ringan," kata Menteri Kewangan Israel, Yair Lapid seperti yang dilaporkan oleh akhbarMaariv.
Sebelum ini akhbar Wall Street Journal melaporkan bahawa Israel menerima bekalan senjata daripada Jabatan Pertahanan AS tanpa kebenaran pentadbiran White House atau Jabatan Negara.
Laporan itu memalukan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama ketika AS cuba menghalang kempen serangan Israel ke atas Gaza termasuk mengetatkan kawalan ke atas penghantaran senjata ke Israel, menurut akhbar tersebut yang memetik kenyataan para pegawai AS dan Israel.
Akhbar berkenaan melaporkan perbualan melalui telefon antara Obama dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berlangsung agak tegang.
Perbualan itu menjadi tegang apabila Israel mahu jaminan keselamatan daripada AS semasa proses rundingan dengan Hamas yang sedang berlangsung. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0816&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3AVOJSzpF 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment