GAZA CITY 15 Ogos - Pergerakan Hamas mengulangi pendirian mereka tidak akan menandatangani perjanjian damai dengan Israel sekiranya rejim Zionis itu gagal memenuhi tuntutan penduduk Palestin di Genting Gaza.
Perunding Palestin, Khalil al-Haya semasa ditemui rangkaian televisyen Al-Jazeera di Mesir menyuarakan kesukaran pihaknya untuk berunding dengan Israel, yang suka melengah-lengahkan perbincangan.
Khalil berkata, Hamas dalam tuntutannya mahu serangan dan sekatan ke atas Gaza ditamatkan secara kekal selepas wilayah Palestin itu dikepung oleh Israel sejak 2006.
Jelasnya, Hamas menunjukkan kesungguhan untuk memastikan perjanjian (damai) dicapai, tetapi Israel perlu memenuhi kehendak penduduk Gaza.
"Perang yang tercetus di Gaza satu keadaan dan bukan pilihan kerana kami tidak mempunyai pilihan lain, selain mempertahankan diri.
"Kami (Hamas) bersatu dan bersedia berkorban sebagai satu anggota badan demi mempertahankan penduduk Gaza dan peperangan ini merupakan satu permulaan ke arah kemerdekaan," katanya.
Khalil berkata demikian hanya beberapa jam selepas gencatan senjata antara Hamas dan Israel dilanjutkan selama lima hari lagi ketika wakil perunding kedua-dua pihak yang bertelagah meneruskan perbincangan mereka di Kaherah.
Delegasi Palestin turut menyatakan kesediaan untuk kembali ke Mesir malam esok bagi membincangkan lebih banyak perkara.
Sumber Mesir dan Palestin memaklumkan, buat sementara waktu, Israel bersetuju membenarkan beberapa bekalan bantuan dibawa masuk ke Gaza dan melonggarkan sekatan, sekali gus membolehkan penduduk Palestin menyeberangi sempadan mengikut syarat-syarat tertentu.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140816/lu_03/Jangan-abai-penduduk-Gaza#ixzz3AVI5PGal
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment