Saturday, 16 August 2014

10,000 hentam Netanyahu



Tel Aviv: Kira-kira 10,000 penduduk Israel mengadakan protes di Tel Aviv kerana tidak berpuas hati apabila pertempuran sejak lima minggu lalu di Gaza masih gagal diselesaikan.

Kebanyakan penunjuk perasaan itu dibawa menggunakan bas dari pelbagai lokasi di Israel yang paling banyak diserang roket Hamas termasuk golongan dari kawasan perniagaan yang terbabit.


Gencatan senjata diadakan dua kali berturut-turut sejak Isnin yang dijangka berakhir pada 19 Ogos ini berjaya menghentikan tembakan untuk sementara waktu.

Namun, penunjuk perasaan bimbang pertempuran berlaku lagi sebaik gencatan senjata berakhir, malah menganggap tentera Israel sepatutnya menghapuskan tempat simpanan senjata Hamas di Gaza.


Ada antara mereka turut mendakwa rasa tertipu dengan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu yang sebelum ini menjanjikan peperangan itu boleh menjamin keamanan di selatan Israel, selain menghapuskan terowong bawah tanah digunakan Hamas.


Bagaimanapun, Netanyahu tidak dikritik secara peribadi sebaliknya ramai mengucapkan terima kasih kerana usahanya melawan Hamas.

Namun demonstrasi itu kritikan paling lantang setakat ini terhadap cara kerajaan Israel sejak pertempuran bermula pada 8 Julai lalu.

Datuk bandar Sderot, antara bandar paling teruk dibedil serangan roket Hamas - Alon Davidi antara paling lantang bersuara dalam perhimpunan di Dataran Rabin - tempat perdana menteri Yitzhak Rabin dibunuh pada 1995.

“Kami penat mendengar janji manis. Hamas mesti dihapuskan. Sampai bila saya perlu bimbangkan keselamatan kami sekeluarga ketika tidur?

“Kami bimbang kedua-dua pihak mencapai persetujuan yang menjejaskan kami. Nyawa kami bukannya murah, kami tidak bersedia menerima serangan dari Gaza.

“Isu ini mesti diselesaikan. Sampai bila orang Israel terpaksa menari mengikut rentak mereka? Sepatutnya tentera melindungi kami sepenuhnya.

Kata-katanya itu disambut tepukan dan sorakan gemuruh ribuan peserta demonstrasi.

Malah, seorang penunjuk perasaan Haim Dahan, 39, memberitahu media dia percaya Hamas perlu dihapuskan.

Peliknya, perhimpunan itu turut dihadiri golongan haluan kiri Israel yang menentang pentadbiran Netanyahu termasuk anggota parlimen pembangkang dari parti Meretz, Tamar Zandberg.

“Kami sekadar memberi sokongan kepada rakan yang menjadi mangsa serangan Hamas.

“Permintaan mereka itu memang munasabah kerana mereka mahukan keamanan dan memang tugas kerajaan memastikan keamanan tercapai,” katanya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/16

No comments:

Post a Comment