Tuesday 15 July 2014

Tiga trak bekalan ubat masuk Gaza melalui Rafah


2014/07/15
Tiga  trak bekalan ubat masuk Gaza melalui Rafah
Anggota MALBATT 850-1 melakukan rondaan menggunakan kereta perisai di Kem Marakah, Beirut, Lubnan. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

Kuala Lumpur: Tiga trak yang penuh dengan bekalan ubat-ubatan dibenarkan memasuki Gaza melalui sempadan Rafah kelmarin ketika Israel belum menunjukkan sebarang tanda untuk menghentikan serangan ke atas wilayah konflik yang didiami 1.7 juta warga Palestin.

Bekalan ubat-ubatan dan peralatan perubatan dibeli di Kaherah itu dibawa masuk Kesatuan Perubatan Arab (AMU), yang turut bekerjasama dengan Viva Palestina Malaysia (VPM).

Bantuan kemanusiaan itu inisiatif digerakkan di bawah Persekutuan Persatuan Perubatan Islam (FIMA) yang mempunyai 40 cawangan di serata dunia.
Kita akan menghantar sekurang-kurangnya 10 doktor dan pakar, termasuk pakar otak, tulang dan bius dalam fasa pertama. Fasa kedua akan diikuti doktor dan pakar dari Amerika Syarikat. Mereka akan berada di sana seminggu hingga dua minggu, bergantung kepada keperluan” Dr Musa Mohd Nordin, Pengerusi VPM dan Pengerusi Majlis Penasihat FIMA

Pengerusi VPM yang juga Pengerusi Majlis Penasihat FIMA, Datuk Dr Musa Mohd Nordin, berkata pihaknya mendapat kebenaran khas dari pihak berkuasa Mesir untuk menghantar bekalan perubatan itu.

Katanya, sukarelawan doktor dan pakar FIMA juga kini bersiapsiaga di ibu pejabat AMU di Kaherah untuk memasuki Gaza pada bila-bila masa, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa Mesir.

“Kita akan menghantar sekurang-kurangnya 10 doktor dan pakar, termasuk pakar otak, tulang dan bius dalam fasa pertama. Fasa kedua akan diikuti doktor dan pakar dari Amerika Syarikat.

172 warga Palestin terkorban
“Mereka akan berada di sana seminggu hingga dua minggu, bergantung kepada keperluan,” katanya kepada BH ketika mengulas mengenai situasi terkini di Gaza.

BBC melaporkan ribuan warga Palestin mula melarikan diri dari utara Gaza selepas Israel memberikan amaran akan menyerang kawasan itu selepas membedil dan mengebom wilayah konflik itu tanpa henti sejak 8 Julai lalu.

Sehingga petang semalam, 172 warga Palestin terkorban, termasuk 18 sekeluarga terkorban dalam serangan udara rejim zionis Israel, Sabtu lalu.

Kes kecederaan tinggi terutama dalam kalangan orang awam menyebabkan banyak hospital di Gaza sesak dengan pesakit dan kekurangan bekalan ubat-ubatan khasnya bagi keperluan kecemasan dan trauma.

Dr Musa berkata, proses keluar masuk ke Gaza melalui sempadan Rafah kini diperketatkan dan tertakluk kepada kebenaran pihak risikan Mesir.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dilaporkan berkata 77 peratus daripada mangsa serangan adalah orang awam, sekalipun rejim Israel mendakwa pihaknya menyasar kepada tapak pelancar roket, terowong dan gudang senjata Hamas.

No comments:

Post a Comment