KUALA LUMPUR: Lima pakar perubatan dari Malaysia akan berlepas ke Semenanjung Gaza bagi membantu rakyat Palestin yang cedera ekoran serangan udara tentera Israel.
Mereka terdiri daripada pakar bedah ortopedik, pakar bius dan pakar neurologi yang akan berlepas Jumaat ini di bawah misi kecemasan Aman Palestin.
Mereka diketuai pakar bedah ortopedik Dr Mohamad Nor Sundari dari Pusat Perubatan Kuantan, Dr Zairul Nizam Zainol Fitri dari Hospital Pakar Senawang, Dr Mafeitzal Mamat dari Fakulti Perubatan Universiti Teknologi Mara, Dr Hasbe Zuraina Abu Bakar dari Hospital Columbia, Setapak dan Dr Kamarul Al-Haq Abd Ghani dari Hospital Serdang.
Dr Mohamad berkata, mereka akan turut membawa bekalan ubat-ubatan.
Beliau yang pernah dua kali menyertai misi kemanusiaan ke Gaza sebelum ini menganggap misi kali ini lebih mencabar.
"Misi saya sebelum ini lebih kepada misi selepas peperangan atau berupa bantuan kemanusiaan. Tetapi kali ini ianya lebih besar, penduduk Gaza sedang diserang," katanya.
Dilaporkan, sekurang-kurangnya 121 rakyat Palestin terbunuh manakala beratus-ratus lagi cedera dalam serangan yang turut memusnahkan masjid, sekolah dan rumah.
Dr Mohamad pertama kali ke Gaza pada tahun 2009 dan kali kedua tahun lepas. Semasa berkhidmat di Gaza, beliau menjalankan 21 pembedahan ke atas 21 orang rakyat Gaza.
Selain Gaza, beliau pernah menyertai misi kemanusiaan di bawah Mercy Malaysia semasa berlaku konflik agama di Ambon, tsunami di Acheh dan gempa bumi di Pulau Nias, Sumatera. - Bernama
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/15
No comments:
Post a Comment