KUALA LUMPUR - Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyeru semua pihak yang terlibat dalam konflik di Timur Tengah supaya tidak menyerang tempat bukan tentera, terutama hospital, sekolah dan rumah perlindungan anak yatim.
  
Presidennya Dr H Krishna Kumar dalam kenyataan hari ini berkata, MMA mengutuk sekeras-kerasnya sebarang bentuk keganasan kerana kebanyakan yang cedera dan terbunuh dalam sengketa itu adalah penduduk tidak bersalah, terutama kanak-kanak dan orang tua.
  
"Kami juga mengutuk sekeras-kerasnya sebarang keganasan terhadap mana-mana petugas perubatan yang hanya ke sana untuk membantu mereka yang cedera dan cacat.
  
"Kami harap semua pihak yang berperang mendengar suara kami ini kerana kami mewakili majoriti yang cintakan keamanan," katanya.
  
Krishna berkata, MMA juga berharap semua konflik dapat diselesaikan di meja rundingan, bukan di medan perang.
  
Laporan media menyebut 172 rakyat Palestin terbunuh, manakala 1,230 cedera sejak Israel menyerang Gaza melalui operasi dikenali sebagai "Operation Protective Edge" pada Selasa. - Bernama