Baitulmaqdis: Kekejaman tentera Yahudi ke atas masyarakat Islam diserlahkan lagi apabila sistem bekalan air dan pembentungan penting di Gaza dimusnahkan melalui serangan udara.
Serangan tidak berperikemanusiaan rejim Zionis ke atas Gaza yang masuk hari ketujuh semalam menyaksikan lebih 172 orang terbunuh, termasuk 28 kanak-kanak dan mencederakan lebih 1,200 yang lain.
Pegawai Palestin mendakwa rejim Zionis menyasarkan telaga air di beberapa kawasan di Gaza dan menyebabkan ribuan keluarga terputus bekalan air bersih.
Menurut pegawai sebuah badan bertindak menentang kemiskinan, Oxfam, setakat hujung minggu lalu, 90 peratus bekalan air di Gaza tidak selamat untuk diminum.
Pesawat tentera Yahudi juga menyasarkan serangan ke arah stesen rawatan kumbahan di Gaza, Sabtu lalu.
Pengarah kemudahan air Majlis Perbandaran Gaza, Saed al-Din Atbash berkata, antara kawasan yang menerima kesan akibat serangan itu adalah kem pelarian Shati, Tal al-Hawa, Sheikh Ejleen dan kebanyakandaerah di barat bandar itu.
Saed berkata, tentera Yahudi sengaja menyerang dan memusnahkan telaga dan sistem bekalan air di Gaza.
“Pesawat Zionis menyerang telaga di kawasan penempatan berhampiran al-Maqwsi dan al-Zaytoun yang membekalkan air kepada 7,000 penduduk,” katanya.
Rejim Zionis juga memusnahkan lima saluran air yang membekalkan air bersih kepada sejumlah besar penduduk Gaza.
Dengan setiap saluran membekalkan air kepada 20,000 penduduk, dijangkakan 100,000 penduduk akan terjejas.
Kemusnahan terbaru infrastruktur penting itu memburukkan lagi sistem kesihatan rakyat Palestin.
Rakan kerjasama Oxfam bertindak menghentikan sementara usaha merawat air di Gaza kerana keganasan yang berterusan walaupun 90 peratus bekalan air di Gaza sudah tidak selamat untuk diminum.
Infrastruktur yang terselamat menghadapi ancaman lain dan pertubuhan berkenaan bimbang pam air dan loji kumbahan akan berhenti berfungsi dalam masa beberapa hari kerana kekurangan sumber tenaga dan bahan api yang semakin membimbangkan.
Kem pelarian Shati yang paling teruk terjejas dan ia dilihat sebagai sasaran utama tentera Zionis serta sudah diserang sekurang-kurangnya sekali.
Seperti kawasan lain, penggunaan air di Gaza meningkat pada musim panas namun bekalan elektrik yang terputus akibat serangan tentera Yahudi.
Seorang penduduk, Umm Ramzy berkata, mereka sering terputus bekalan air dan elektrik pada masa yang sama dan perkara itu memberi kesukaran kepada mereka untuk menjalankan kegiatan harian seperti memasak, membasuh dan mandi.
Serangan ke atas bekalan sumber utama di Gaza menunjukkan tujuan sebenar tentera Yahudi yang mahu membunuh lebih ramai umat Islam dan menyeksa rakyat Palestin khususnya namun berselindung di sebalik operasi ‘mempertahankan diri’ yang menjadi propaganda media seluruh dunia. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/15
No comments:
Post a Comment