GAZA - Pada malam Selasa minggu lalu, Zionis melancarkan serangan udara pertama di Khan Yunis menyebabkan beberapa orang awam maut.

Serangan 24 jam itu dilakukan hingga semalam hingga tentera Israel mengeluarkan arahan meminta penduduk sekitar berpindah menyelamatkan diri kerana serangan darat akan dilancarkan.

Awalnya, tentera Israel hanya membedil kawasan yang tidak berpenghuni namun mereka terus menggila apabila menyasarkan serangan di kawasan penempatan.

Sehingga semalam, Khan Yunis, Deir al-Balah, Abbasan al-Kabera terus dibedil dan mereka lari menyelamatkan diri ke kawasan yang dikira masih selamat iaitu di Beit Lahia, Jabaliya dan Beit Hanoum.

Namun, kawasan berkenaan semuanya hampir dengan Tel Aviv.

Paling memeritkan, tiga hari selepas itu, Mesir menutup pintu sempadan di Rafah dan ke manakah mereka harus pergi?

Jika melalui Karem Shalom, Sufa, Kissufin, Kami, Hahal Oz dan Erez pastinya kawasan itu dianggap sebagai menempah maut kerana ia sempadan Israel.

Semalam, serangan Israel disasarkan di utara Gaza dan Jabalia kerana kawasan itu ramai penduduk.

Ketika kemaraan itu, ribuan penduduk melarikan diri dengan keldai kurus dan membawa barang keperluan.

Mereka juga membawa haiwan ternakan untuk menuju ke kawasan yang tidak diketahui kerana hilang arah untuk menyelamatkan diri selepas semuanya terkepung.

Keperitan tidak terhenti di situ, misi bantuan kemanusiaan juga belum boleh disampaikan kerana keadaan semakin tegang.

Selepas melihat kemusnahan di Gaza, beberapa negara dunia tampil mahu menghulurkan bantuan seperti perubatan dan sukarelawan namun sehingga semalam, mereka masih belum boleh berbuat demikian kerana tiada laluan selamat.

Apa yang boleh dilakukan hanya menghulurkan bantuan kewangan kepada Perdana Menteri Mahmoud Abbas tetapi apa yang boleh dibeli dengan duit itu sedangkan Palestin terkepung.

Sampai bilakah episod duka ini akan berpanjang. Adakah misi keselamatan dan bantuan negara dunia hanya akan tiba selepas jumlah kematian terus meningkat?