Saturday, 26 July 2014

‘Syahid itu lebih manis’


‘Syahid itu lebih manis daripada segalanya.’ Itu ayat keramat kebanyakan rakyat Gaza dalam menghadapi serangan peluru berpandu yang bertali arus daripada tentera rejim Zionis sejak tercetusnya Perang 10 Ramadan, hampir dua minggu lalu.
Keadaan itu jelas memperlihatkan keunggulan iman rakyat Palestin apabila mereka sedikit pun tidak menunjukkan rasa takut, sebaliknya terus mendirikan solat berjemaah.
Berikutan itu rejim Zionis dilihat terus bertindak kejam dengan meletakkan sasaran terhadap masjid-masjid, bertujuan menghancurkan perpaduan ummah, rakyat Gaza yang tetap utuh iman mereka dengan mendirikan solat secara berjemaah.
Memasuki Ramadan ke-27, saya tidak nampak bahawa peperangan ini akan menemui noktahnya, sebaliknya lebih ramai rakyat Palestin yang gugur syahid termasuk terkorban akibat bedilan bom yang disasarkan terhadap lokasi awam.
Untuk makluman sahabat-sahabat saya di Malaysia, tentera Zionis sengaja menyasarkan serangan terhadap masjid kerana bimbang mujahidin Palestin menjadikan rumah ibadat markas mereka mengatur pelan serangan balas.
Selain itu juga, tindakan rejim Zionis menyasarkan serangan terhadap masjid bagi menimbulkan rasa takut penduduk Gaza untuk mendirikan solat berjemaah.
Saya perhatikan sejak Perang 10 Ramadan tercetus, pelbagai bentuk provokasi dilakukan demi menakutkan penduduk Gaza, namun sudah menjadi impian mereka untuk gugur syahid.
Saya pernah berbual dengan seorang anak muda Gaza berusia awal 20-an beberapa hari lalu.
Dia menyatakan gugur syahid adalah pengakhiran hayat yang paling indah, oleh itu hampir semua belia-belia negara ini merebut peluang untuk syahid.
Lelaki itu turut menyatakan bahawa tentera rejim Zionis amat takut terhadap kematian kerana bagi mereka kematian adalah pengakhiran yang buruk dan perkara berkenaan sangat berbeza buat rakyat Palestin.
Saya juga dapati penduduk Gaza terus utuh mendirikan solat berjemaah tanpa takutkan serangan rejim Zionis.
Benarlah kata-kata cendikiawan Islam dan ulama muktabar bahawa akan tiba suatu masa rakyat Palestin akan bangkit dan mengasak rejim Zionis habis-habisan.
Dalam serangan terbaru rejim Zionis, mereka membedil hospital di Deirul Balah, Gaza Tengah.
Saya nasihatkan rakyat Malaysia terus mempedulikan nasib saudara Islam kita di Palestin dengan pelbagai usaha serta sumbangan.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh terus ke akaun CIMB 7600809829 (Salamah Ahmad Shah) dan bantuan yang diberikan akan disalurkan terus kepada rakyat Palestin.
Foto
KEDIAMAN yang turut menjadi sasaran serangan bom Israel.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/26

No comments:

Post a Comment