BANDAR GAZA - Pihak berkuasa Gaza berkata, tentera Israel membedil sebuah sekolah yang dijadikan pusat perlindungan kelolaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan menyebabkan sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh.
Perkembangan itu menjadikan angka kematian akibat serangan Israel di Gaza meningkat kepada lebih 796 orang.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon melahirkan perasaan ngerinya terhadap serangan itu yang berlaku di sebuah sekolah di Beit Hanoun, utara Genting Gaza kelmarin.
"Ramai yang terbunuh termasuk wanita, kanak-kanak dan seorang kakitangan PBB. Keadaan masih tidak jelas. Saya mengutuk sekeras-kerasnya serangan itu," katanya dalam satu kenyataan.
Ki-moon semalam tiba di Kaherah dan beliau dijangka mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry.
Mengulas mengenai kekejaman terbaharu rejim Zionis itu, seorang jurucakap Kerry berkata, serangan ke atas sekolah berkenaan menunjukkan betapa perlunya keganasan di Gaza ditamatkan.
Bagaimanapun, lawatan empat hari Kerry ke Asia Barat itu gagal mencapai kemajuan ke arah gencatan senjata antara Israel-Palestin.
"Masih terdapat jurang perbezaan antara pihak yang terlibat," kata seorang pegawai kanan AS.
Dalam pada itu, tentera Israel berkata, pihaknya sedang menyiasat serangan yang berlaku ke atas sekolah itu.
Perkara tersebut dinyatakan oleh jurucakap tentera Israel, Leftenan Kolonel Peter Lerner kepada saluran televisyen Reuters.
"Ia mungkin bedilan tentera Israel yang tersasar atau mungkin juga serangan roket oleh para pejuang Palestin tetapi kami masih tidak pasti dan serangan tersebut masih ada tanda tanya," katanya.
Seorang jurucakap Agensi Bantuan dan Kerja PBB berkata, pihaknya gagal berunding dengan tentera Israel untuk mengatur perpindahan orang awam dari sekolah tersebut manakala pada masa yang sama terdapat bedilan roket Hamas di lokasi itu.
Berpuluh-puluh keluarga yang tinggal di sekolah itu berlari bersama anak-anak mereka ke sebuah hospital yang terletak beberapa ratus meter dari lokasi serangan.
Mangsa-mangsa yang cedera kemudian dirawat di hospital itu.
Seorang wanita, Laila Al-Shinbari yang berada di sekolah itu memberitahu Reuters, keluarga-keluarga berkumpul di halaman kerana menjangka mereka akan dipindahkan segera.
"Kami semua duduk di pekarangan sekolah untuk menunggu dipindahkan oleh Palang Merah tetapi secara tiba-tiba, empat butir bom bergerak di atas kepala kami," kata Laila.
"Mayat-mayat kemudian dilihat bergelimpangan," tambahnya.
Seorang jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza, Ashraf al-Qidra berkata, selain 15 orang yang mati, seramai 200 mangsa turut cedera dalam serangan itu.
Dalam pada itu, di Tebing Barat, kira-kira 10,000 penunjuk perasaan berarak untuk menyokong saudara seagama mereka memerangi tentera Israel di Gaza.
"Seorang penunjuk perasaan mati dan kira-kira 200 orang cedera dalam bantahan tersebut," kata beberapa pegawai sebuah hospital Palestin. - Reuters
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0726&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz38WWJUfK7
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment