Saturday, 26 July 2014

Briged Al-Qassam bunuh lebih 100 askar Israel


Penduduk Palestin membantu pasukan menyelamat mencari penduduk Palestin yang terperangkap di bawah runtuhan sebuah rumah kediaman akibat serangan Israel di Khan Younis, selatan Gaza, semalam. - REUTERS
GAZA 25 Julai - Briged al-Qassam, sayap bersenjata pergerakan Hamas berkata, pihaknya berjaya membunuh lebih 100 askar Israel sejak Israel melancarkan serangan ke atas Gaza pada 7 Julai lalu.
Sayap bersenjata pergerakan Hamas itu dalam laman webnya berkata, jumlah tersebut tidak termasuk mereka yang dibunuh secara rahsia.
"Al-Qassam berjaya membunuh askar dan pegawai Israel termasuk anggota daripada pasukan elit seperti Golani dan Egoz,'' kata kumpulan itu.
Pihaknya juga berjaya memusnahkan 36 kenderaan tentera, selain menyasarkan serangan ke atas 35 tempat yang dikawal ketat oleh askar Israel.
Sementara itu, lima orang rakyat Palestin termasuk seorang wanita mengandung terbunuh dalam serangan udara tentera Zionis Israel, meningkatkan jumlah korban kepada 808 orang ketika serangan Israel memasuki hari ke-18 hari ini.
Jurucakap perkhidmatan kecemasan Gaza, Ashraf al-Qudra berkata, serangan udara ke atas sebuah rumah di bandar Deir al-Balah, Gaza menyaksikan seorang wanita mengandung berumur 23 tahun dan seorang lagi wanita berusia 26 tahun terbunuh.
"Satu lagi serangan udara di Rafah menyebabkan seorang ahli propaganda Jihad Islam, Salah Hasanein dan dua anak lelakinya berumur 12 dan 15 tahun terbunuh,'' katanya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140726/lu_05/Briged-Al-Qassam-bunuh-lebih-100-askar-Israel#ixzz38WS3ZyXK
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment