RAMALLAH 25 Julai - Askar Israel semalam menembak mati tiga penunjuk perasaan Palestin dan mencederakan 200 orang lain yang mengadakan demonstrasi di Tebing Barat bagi membantah serangan tentera Israel di Gaza, yang menyaksikan angka korban penduduk Palestin meningkat lebih 800 orang.
Tunjuk perasaan itu bermula selepas pergerakan Fatah berarak dari Tebing Barat ke pinggir Baitulmaqdis bagi membantah serangan ke atas Gaza.
Demonstrasi turut diadakan di beberapa negara lain mengutuk kekejaman rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza.
Tentera Israel mengesahkan askar mengambil tindakan terhadap penunjuk perasaan yang melempar batu dan bom api ke arah mereka dan menghalang jalan raya dengan membakar tayar.
Seorang doktor di hospital di sini berkata, tiga orang maut ditembak askar Israel termasuk seorang pemuda berumur 20-an, manakala sekurang-kurangnya 200 orang dirawat atas pelbagai kecederaan.
Demonstrasi dilaporkan turut diadakan di Baitulmaqdis dengan jurucakap polis, Micky Rosenfeld berkata, beberapa pegawai polis cedera terkena batu yang dilempar oleh penunjuk perasaan dan kira-kira 20 penunjuk perasaan ditahan.
Radio Israel melaporkan tunjuk perasaan oleh penduduk Palestin itu dilihat sebagai paling besar sejak konflik 2000-2005.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon semalam melahirkan rasa terkejut dan sedih atas tindakan Israel menyerang sekolah milik PBB di Genting Gaza yang menyaksikan 15 orang maut.
"Ia tidak boleh diterima. Saya minta kedua-dua pihak bertelagah supaya jangan membunuh rakyat anda sendiri. Ia adalah satu perbuatan yang salah. "Serangan perlu dihentikan. Apa pun perbezaan yang ada, ia perlu dihentikan,'' katanya. - REUTERS/AGENSI
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140726/lu_04/Israel-tembak-3-penunjuk-perasaan#ixzz38WRtdTnZ
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment