Saturday 26 July 2014

200 simpati nasib Gaza


Melaka: Lebih 200 jemaah menyertai perhimpunan aman bagi mengutuk serangan Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza yang diadakan selepas solat Jumaat di pekarangan Masjid Al-Azim di sini, semalam.
Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron yang turut menyertai perhimpunan itu melahirkan rasa sedih dan simpati dengan nasib penduduk Palestin yang terus ditindas.
“Sehingga kini mangsa korban mencecah 777, sebahagian besarnya kanak-kanak, wanita dan orang tua manakala lebih 5,000 yang lain cedera.
“Serangan yang dilakukan ketika umat Islam menyambut Ramadan ini membuktikan kerakusan serta kezaliman rejim Zionis yang tidak berperikemanusiaan,” katanya.
Menurut Idris, rakyat Melaka dan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis terhadap penduduk Gaza yang terus dibedil ketika umat Islam kini sibuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
“Kezaliman yang berterusan di Gaza tidak boleh dibiarkan berlarutan dan kita sebagai umat Islam mesti terus bersatu padu serta berdoa supaya rejim Zionis ini hancur dilaknat Allah SWT,” katanya.
Hadir sama Presiden Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Datuk Seri Mohd Ali Rustam.
Sementara itu, Mohd Ali turut mendesak Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyiasat kejadian pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 yang ditembak jatuh dengan peluru berpandu di Ukraine.
“DMDI mengutuk sekeras-kerasnya kejadian terbabit dan menuntut PBB campur tangan bagi mengesan dalang yang bertanggungjawab di atas kejadian itu.
“Kami mendesak PBB membuka mata dan campur tangan bagi mengheret penjenayah yang bertanggungjawab ke muka pengadilan,” katanya.
Foto
IDRIS (dua dari kanan) bersama Mohd Ali (tiga dari kanan) berhimpun secara aman di pekarangan Masjid Al-Azim, semalam.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/26

No comments:

Post a Comment