TEBING BARAT 23 Nov. – Pendatang haram Yahudi menyerang rumah penduduk Palestin dalam beberapa serangan berasingan di kawasan kediaman penduduk Palestin di selatan Tebing Barat.
Laman web PressTv.ir melaporkan, sekumpulan pendatang haram Yahudi, malam semalam menyerang kawasan perumahan Wadi al-Hussein, Wadi al-Nasara, dan al-Kasara yang terletak di bandar al-Khalil, Hebron dengan membaling batu ke arah rumah milik penduduk Palestin.
Ketua aktivis Youth Against Settlements, Issa Amro berkata, pendatang haram Yahudi turut membaling batu, botol, dan tin-tin kosong terhadap rumah penduduk Palestin berhampiran kawasan penempatan haram Yahudi di Kiryat Arba.
“Pasukan keselamatan rejim Zionis dilihat berada di tempat kejadian, tetapi mereka tidak berbuat apa-apa untuk menghentikan serangan itu, malah ada tentera Israel membantu pendatang haram melancarkan serangan,” jelas Issa.
Dalam perkembangan lain, sekumpulan penunjuk perasaan Palestin bertempur dengan tentera Israel di kem pelarian al-Fawwar selatan bandar al-Khalil.
Tentera rejim Zionis dilihat melepaskan tembakan gas pemedih mata dan bom asap bagi meredakan kemaraan penduduk Palestin yang melawan dengan membaling batu yang dikutip dari tepi jalan.
Pertempuran tersebut berlaku sehari selepas sebuah akhbar melaporkan penemuan seorang remaja Palestin berusia 22 tahun yang dipaksa memasuki sebuah kereta sebelum dia dibakar hidup-hidup.
“Saya melihat beberapa orang penduduk haram Yahudi memaksa remaja Palestin berkenaan masuk ke dalam sebuah kereta sebelum bertindak membakarnya hidup-hidup,” kata seorang saksi kejadian.