23 November 2015 12:35 AM
RAMALLAH 22 Nov. – Seorang remaja Palestin menjadi mangsa terbaharu kekejaman pendatang haram Yahudi yang bertindak memukul dan membakar mangsa dalam kejadian di utara wilayah Tebing Barat.
Portal PressTV melaporkan, kejadian itu berlaku pada Jumaat lalu, apabila mayat mangsa yang dikenali sebagai Fadi Hoosh, 22, ditemukan dalam sebuah kereta di tempat pelupusan sampah di pekan Kafr Kanna yang terletak di utara Tebing Barat.
Beberapa saksi melaporkan, mereka ternampak sejumlah pendatang haram Yahudi memukul seorang remaja Palestin dipercayai Fadi dan memaksa mangsa memasuki sebuah kereta sebelum membakar kereta itu.
“Selepas beberapa minit, kesemua pendatang haram itu memadamkan kebakaran dan membiarkan mangsa di dalam kereta sebelum melarikan diri,” kata saksi kejadian yang enggan dikenali.
Kejadian ganas tersebut mengulangi kekejaman yang berlaku pada 31 Julai lalu, apabila seorang bayi Palestin berusia 18 bulan, Ali Dawabsheh, maut bersama bapanya, apabila pendatang haram Yahudi bertindak membakar kediaman keluarga Palestin itu.
Bapa bayi berkenaan, Sa’ad Dawabsheh turut terkorban dalam kejadian tersebut dan ibunya, Riham Dawabsheh yang mengalami melecur teruk meninggal dunia beberapa hari kemudian.
Kematian Fadi berlaku ketika ketegangan masih lagi memuncak di Tebing Barat dan Genting Gaza sejak 1 Oktober lalu dengan menyaksikan lebih 90 penduduk Palestin terbunuh akibat kekejaman tentera Israel dan pendatang haram Yahudi.
Sementara itu, dua lagi penduduk Palestin termasuk seorang wanita maut ditembak pendatang haram Yahudi di Tebing Barat hari ini, selepas kedua-dua mangsa didakwa cuba menyerang penduduk dan pihak keselamatan Israel.
Dalam kejadian pertama seorang pemandu teksi Palestin ditembak seorang pendatang Yahudi apabila didakwa cuba merempuh penduduk Israel di persimpangan Kfar Adumin.
Kejadian kedua berlaku di satu persimpangan di selatan Nablus apabila seorang wanita Palestin dirempuh oleh pendatang haram Yahudi sebelum ditembak mati oleh tentera rejim. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/remaja-palestin-maut-dibakar-1.161232#sthash.Q0zKxdPG.dpuf
No comments:
Post a Comment