|
KAHERAH - Perbincangan mengenai gencatan senjata melibatkan Israel dan Hamas masuk hari kedua semalam dalam usaha untuk mencapai persetujuan bagi melanjutkan tempoh gencatan di Semenanjung Gaza.
Pergerakan Hamas menuntut supaya sekatan sempadan Israel-Mesir dibuka semula, manakala Israel mahukan semua persenjataan Hamas dilucutkan dalam rundingan itu.
Tentera Israel berkata, tiada pertempuran berlaku antara kedua-dua belah pihak ketika perbincangan berlangsung sepanjang malam kelmarin.
Gencatan senjata selama 72 jam itu diumumkan pada Isnin lalu selepas rejim Zionis melancarkan kempen ketenteraan di Gaza sejak 8 Julai lalu.
Peperangan yang meletus di Gaza telah mengorbankan lebih 1,900 penduduk Palestin.
Kebanyakan yang terkorban itu merupakan orang awam.
Dalam pada itu, sebanyak 67 warga Israel terbunuh dan tiga daripada mereka merupakan askar.
Beberapa wakil Israel kembali ke ibu negara Mesir semalam bagi meneruskan rundingan mengenai gencatan senjata itu.
Seorang pegawai kanan Israel bagaimanapun berkata, perkembangan rundingan pada hari pertama tidak begitu memberangsangkan.
"Perbezaan antara kedua-dua belah pihak sangat besar dan tidak ada perkembangan yang berlaku dalam rundingan itu," katanya.
Anggota delegasi Palestin pada Isnin lalu berkata, Israel menawarkan beberapa kemudahan bagi meningkatkan taraf hidup 1.8 juta penduduk Gaza.
Antara kemudahan yang mahu ditingkatkan itu adalah bagi membenarkan trak membawa barangan dari wilayah Israel ke Gaza. - AP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0813&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3ADoiEtGq
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment