• Tun MahathirTun Mahathir

SEPANG - Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, isu kekejaman Zionis Israel terhadap penduduk Palestin dapat dihentikan jika Amerika Syarikat menghentikan sokongan mereka terhadap Israel.   

Beliau berkata, keadaan itu juga menyebabkan penduduk Palestin menderita lebih 60 tahun.

"Isu Palestin hanya boleh diselesaikan jika Amerika Syarikat berhenti memberi sokongan kepada Israel. "Selagi Britain dan Amerika Syarikat tidak berhenti (memberi sokongan) ia tidak akan selesai," katanya kepada pemberita selepas majlis Pelepasan Misi Bantuan Kemanusiaan Biro Kebajikan Umno/Kelab Putera 1Malaysia ke Gaza, Palestin oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Mengulas mengenai kedinginan negara Arab lain untuk menyelesaikan kemelut antara Israel dan Palestin, Dr Mahathir berkata, negara-negara Arab ini menganggap pejuang Hamas berbaik-baik dengan Ikhwanul Muslimin.

"Mereka (negara Arab) bermusuh dengan Ikhwanul Muslimin, jadi mereka tidak akan menolong dan berpendapat perkara tersebut akan menimbulkan masalah," katanya.

Beliau juga membidas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) kerana tidak mampu menyelesaikan kemelut antara Palestin dan Israel.

Sementara itu mengenai sumbangan yang diberikan  rakyat Malaysia kepada Gaza, beliau berkata: "Saya berbangga semua rakyat Malaysia tidak kira kaum dan agama membantu rakyat Palestin di Gaza kerana di sana  berlaku penindasan dan ketidakadilan yang luar biasa".

Dalam perkembangan lain, beliau menganggap Kumpulan Negara Iraq dan jajahannya (ISIL) merupakan gerakan yang memecahbelahkan umat Islam dan tindakan mereka menembak orang Islam di Iraq tanpa belas kasihan amat menyedihkan.   

"Ini bukan cara orang Islam yang dibenarkan, Sesiapa yang campur ISIL mereka silap jalan dan tidak faham ajaran Islam yang sebenar," katanya. - Bernama