Wednesday 13 August 2014

Kos bina semula Gaza RM19.1b


Seorang penduduk Palestin, Ziad Rizk, 38, menyediakan kopi di tengah-tengah runtuhan bangunan yang pernah menempatkan pangsapuri serta kedai pakaiannya di Beit Lahiya, utara Genting Gaza, kelmarin. - AGENSI
GAZA CITY 12 Ogos - Pembinaan semula Gaza akibat konflik antara pergerakan Hamas dan Israel dijangka menelan belanja sehingga AS$6 bilion (RM19.1 bilion), yang turut memerlukan Israel menarik balik sekatan kemasukan bahan binaan ke Genting Gaza.
Simen merupakan satu daripada komponen terpenting pembinaan yang diperlukan Palestin dengan import bahan itu akan mencetuskan kontroversi sejak menjadi isu hangat peperangan antara Israel dan Hamas sekali gus menjadikan usaha pembinaan Gaza berdepan satu tugas yang sukar diselesaikan.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan lebih 11,800 buah rumah telah musnah atau tidak boleh didiami, lebih sekali ganda jumlah yang musnah dalam Perang Gaza atau 'Operasi Cast Lead' pada 2008.
Konflik yang bermula sejak 8 Julai lalu itu mengakibatkan daerah Beit Lahiya di utara sehingga Rafah di selatan mengalami kemusnahan teruk akibat serangan Israel.
Masyarakat antarabangsa pada ketika itu berjanji menyumbang sebanyak AS$4.5 bilion (RM14.3 bilion) untuk membaiki semula infrastruktur Gaza yang musnah dalam perang tersebut.
Namun kali ini, Palestin dilaporkan memerlukan kira-kira RM19.1 bilion bagi memperbaiki hospital, jalan raya, sekolah, kemudahan air dan kilang-kilang yang terjejas akibat bedilan dan pengeboman tentera Israel.
Ketua Dewan Perniagaan dan Industri Gaza, Mahir al-Tabaa berkata, 'lebih daripada 350 bangunan industri' musnah dalam konflik itu termasuk 50 kilang-kilang utama.
Bagaimanapun, konflik yang bermula sejak 8 Julai lalu itu masih belum tamat ketika kedua-dua pihak bersetuju untuk mengadakan gencatan senjata selama tiga hari yang menyaksikan wakil kedua-dua pihak mengadakan pertemuan di Kaherah, Mesir bagi menamatkan krisis tersebut.
Pegawai Israel sedar akan kepen­tingan pembinaan semula Gaza, namun mereka tidak mahu menarik balik sekatan yang menjadi tuntutan utama Palestin.
"Tidak akan ada persetujuan tanpa sekatan itu ditarik balik. Bagaimana anda mengharapkan kita membangunkan semula (Gaza) tanpa simen?," kata pegawai kanan Palestin, Daifallah al-Akhras. - AFP
Kesan serangan Israel
- 20 hingga 25 peratus stok bekalan makanan penduduk Gaza musnah.
- 70 peratus rumah di bandar Beit Hanun, utara Gaza tidak selamat untuk dihuni.
- 300 hingga 2,000 buah rumah musnah di bandar Shawkat.
- 65,000 orang penduduk hilang tempat berlindung di Gaza.
- 200,000 pelarian Palestin berlindung di kawasan penempatan sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
- Lebih 30 buah terowong bawah tanah dimusnahkan Zionis sepanjang pertempuran berlaku.
- 10 daripada 26 buah hospital di Gaza terpaksa ditutup selepas dibedil tentera Israel.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140813/lu_03/Kos-bina-semula-Gaza-RM191b#ixzz3ADjHB3Vq
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment