• Hamzah ZainuddinHamzah Zainuddin

KUALA LUMPUR - Malaysia amat bimbang terhadap kegagalan Majlis Keselamatan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) bertindak bagi menangani krisis terbaharu di Gaza, Palestin.   

Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin berkata beberapa infrastruktur sosial dan ekonomi yang penting termasuk milik Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah ranap akibat bedilan berterusan dari udara, laut dan darat oleh tentera Israel.

"Bahkan 11 pekerja Agensi Bantuan dan Kerja PBB (UNRWA) juga tidak terlepas daripada rejim Israel," kata beliau pada Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Jeddah, Arab Saudi.

Teks ucapan Hamzah semasa mesyuarat peringkat Menteri Luar mengenai keadaan meruncing di Negara Palestin yang diduduki dihantar kepada Bernama, pada Selasa.   

Beliau menarik perhatian bahawa masyarakat antarabangsa harus menyoal UNSC mengapa nampaknya ia lumpuh dan tidak dapat bertindak terhadap penindasan dan pencerobohan yang terang-terang dilakukan oleh Israel terhadap Palestin.

"Kita harus bertanya sama ada sikap pilih kasih yang diamalkan sesetengah anggota Majlis Keselamatan menggalakkan Israel untuk bebas bertindak termasuk menggunakan kekerasan sewenang-wenangnya walaupun terhadap orang awam.   

"Pernahkah kita terfikir mengapa banyak keputusan dan resolusi yang diluluskan Majlis Keselamatan,  Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) dan OIC tidak pernah berjaya menamatkan penindasan Israel terhadap rakyat Palestin," beliau bertanya.

Hamzah berkata tindakan yang berkesan perlu diambil dengan segera bagi menamatkan kepungan Israel ke atas Palestin memandangkan masyarakat antarabangsa telah terlalu lama membenarkan Israel meneruskan pencerobohannya. - Bernama