GAZA CITY - PALESTIN. Kehidupan seharian di Gaza kembali seperti biasa selepas Hamas dan Israel bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata terbaharu selama 72 jam bagi memberi peluang kepada kedua belah pihak untuk berunding di Kaherah.

Selepas lebih 12 jam genjatan senjata bermula, tiada tanda serangan akan tercetus daripada mana-mana pihak dan kedai serta perniagaan kembali dibuka kepada penduduk sekitar lapor Arab News.

Di luar sebuah sekolah Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNRWA), kenderaan dan keldai menunggu untuk membawa pelarian pulang semula ke rumah selepas lebih sebulan mendapatkan perlindungan di situ.

Sementara itu, PBB telah menamakan tiga pakar daripada suruhanjaya penyiasatan antarabangsa untuk menyiasat pencabulan hak asasi manusia dan jenayah perang yang dilakukan kedua-dua pihak dalam serangan tentera Israel ke atas Gaza.

Profesor undang-undang antarabangsa dari Kanada, William Schabas akan mengetuai panel bersama dua ahli lain iaitu veteran pakar hak asasi manusia PBB dari Senegal, Doudou Diene dan peguam British-Lubnan, Amal Alamuddin.

Kesemua panel dijangka menghantar laporan kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB pada Mac tahun depan.