Wednesday, 23 July 2014

Zionis bom lima masjid


Keganasan yang dimulakan sejak dua minggu lalu itu kini mengorbankan lebih 600 penduduk Palestin. 
Jurucakap polis Gaza, Ayman Batniji berkata, dalam serangan terbaru semalam, tentera Zionis turut mengebom lima buah masjid, sebuah pusat sukan dan kediaman keluarga Sheikh Ahmad Yassin, pengasas Hamas. 

Dalam pada itu, Israel semalam mengumumkan dua lagi tenteranya mati, satu akibat tembakan dan satu lagi masih belum diketahui puncanya menjadikan, jumlah kematian di pihak mereka meningkat kepada 27.
Foto
PEMANDANGAN dari atas menunjukkan keadaan sebuah masjid di Rafah, selatan Gaza selepas dibom tentera Israel.

Ia adalah jumlah kematian tertinggi tentera Israel sejak peperangan dengan kumpulan Syiah Lubnan pada 2006.

Selain itu dua orang awam Israel turut terkorban dalam konflik terbaru itu. 

Rejim Zionis memulakan serangan ke atas Gaza pada 8 Julai lalu dengan alasan untuk menghentikan serangan roket Hamas dan memusnahkan terowong yang didakwa dibina kumpulan itu bagi tujuan melakukan serangan di negara Yahudi itu. 

Dalam tempoh dua minggu pertempuran tercetus, sayap tentera Hamas, Briged Izuddin Al-Qassam sudah melancarkan kira-kira 2,000 serangan roket ke atas Israel dan ada di antaranya mengenai sasaran sejauh 100 kilometer dari Gaza. 

Serangan udara yang berterusan semalam menyebabkan letupan besar dan menggegarkan Gaza sejurus sebelum azan subuh berkumandang. 

Serangan semalam turut menyaksikan kereta kebal Israel memusnahkan beberapa buah rumah di sepanjang sempadan timur wilayah berkenaan. 

Selain itu, 19 kapal nelayan turut musnah akibat serangan tentera laut Yahudi. 

Dalam pada itu, pemimpin kanan Hamas di Gaza, Ismail Haniyeh berkata, 1.7 juta orang di wilayah itu berkongsi matlamat yang sama iaitu mendesak Israel dan Mesir menghentikan kepungan sebelum mereka menerima sebarang pelan gencatan senjata. 

“Kami tidak akan berpatah balik dan mendiamkan diri dengan kematian yang berlaku. 

“Seluruh Gaza memutuskan untuk menghapuskan sekatan ini dengan darah dan keberanian mereka,” katanya. 

Sementara itu, seorang anggota tentera Israel hilang berikutan pertempuran sengit di Semenanjung Gaza. 

Pegawai pertahanan rejim Zionis bagaimanapun berkata, setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada anggota itu mati atau hidup. 

Perkembangan itu dijangka menyukarkan lagi usaha diplomatik untuk menamatkan keganasan rejim itu di Gaza yang sudah meragut lebih 600 nyawa warga Palestin, sebahagian besarnya penduduk awam. 

Menurut pegawai itu, askarnya hilang selepas pertempuran sengit di Gaza hujung minggu lalu. 

Sementara itu, media Israel berkata, askar berkenaan hilang ketika berada dalam kereta perisai yang menyerang daerah Shijaiyah di Semenanjung Gaza hujung minggu lalu. 

Enam tentera Israel mati dalam pertempuran berkenaan. 

Hamas sebelum ini mendakwa menawan seorang askar Israel. Tentera Israel bagaimanapun tidak mengesah atau menafikannya. 

Pada masa lalu, Israel rejim itu terpaksa membayar harga yang mahal untuk mendapatkan semula anggotanya tenteranya yang terbunuh atau diculik. 

Bagi Israel, askar yang ditahan akan menjadi mimpi ngeri. Sayap bersenjata Hamas menawan seorang askar Zionis pada 2006 dan menahannya di Gaza sehingga Israel membebaskan lebih 1,000 tahanan Palestin. - AP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/23

No comments:

Post a Comment