Wednesday 23 July 2014

Amerika Syarikat, Eropah batal penerbangan ke Tel Aviv


2014/07/23

BAITULMAQDIS: Penerbangan dari Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah serta Kanada ke Tel Aviv dibatalkan berikutan konflik Israel-Gaza yang turut membabitkan kawasan berdekatan lapangan terbang Ben-Gurion.

Serangan roket semalam adalah antara sasaran terdekat dengan lapangan terbang berkenaan setakat ini yang memusnahkan sebuah rumah dan mencederakan seorang rakyat Israel di kawasan Yehud.


Pihak Berkuasa Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat melarang pesawatnya daripada terbang ke Tel Aviv selama 24 jam kerana keadaan merbahaya yang dicetuskan oleh konflik antara Israel dan Gaza.

Agensi Keselamatan Penerbangan Eropah juga mengeluarkan kenyataan kepada syarikat penerbangan menasihati mereka supaya mengelakkan lapangan terbang berkenaan.

Penerbangan Lufthansa dari Jerman, Air France, Air Canada, Alitalia, penerbangan Belanda KLM, easyJet Britain, penerbangan Turki dan penerbangan Aegean Greece adalah antara syarikat yang membatalkan penerbangan ke Tel Aviv atas alasan keselamatan dan keganasan yang semakin meningkat. - AP 

No comments:

Post a Comment