Sama seperti ketika mereka menakluk Palestin pada 1948, kali ini, Israel menggunakan isu agama untuk merealisasikan niat jahat mereka dengan menjalankan gerakan secara halus, walaupun pemimpin Israel, Benjamin Netanyahu beberapa kali menegaskan bahawa status-quo Masjid al-Aqsa tidak tergugat.
Rejim Zionis menganggap Masjid al-Aqsa dibina di atas tapak Kuil Sulaiman, maka mereka berhak mengambil alih masjid itu kerana mendakwa kawasan tersebut asalnya hak mereka dan bukan umat Islam.
Ketika ini penduduk Palestin bersendirian menghadapi keganasan tentera Israel untuk mempertahankan Masjid al-Aqsa daripada pencerobohan kumpulan pelampau Israel dan juga tindakan halus dan jahat Israel untuk menawan masjid suci ketiga bagi umat Islam itu.
Akibatnya mereka terpaksa berdepan kesan langsung, menanggung penderitaan berterusan sejak Yahudi menceroboh bumi Palestin dan menubuhkan negara Israel pada 1948.
Penduduk Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak mengalas tanggungjawab mempertaruhkan nyawa mempertahankan Masjid al-Aqsa, tempat yang menyaksikan peristiwa Israk Mikraj, Nabi Muhammad SAW dijemput menghadap Allah SWT.
Penduduk Palestin berdepan keganasan, provokasi, peluru hidup, peluru getah, gas pemedih mata, ditangkap dan tindakan undang-undang Israel yang tidak memihak kepada mereka untuk mempertahankan masjid itu.
Beratus-ratus remaja Palestin dan wanita ditahan tidak termasuk beberapa orang yang telah terkorban termasuk dua kanak-kanak Palestin yang terbunuh dan ratusan lagi cedera dalam protes dan pertempuran dengan pasukan keselamatan Israel.
Mengikut perangkaan, sebanyak 117 penduduk Palestin terbunuh dalam keganasan terbaharu itu termasuk kanak-kanak, lebih 2,000 cedera, dan 1,197 lagi ditahan.
Pemuda-pemuda Palestin yang sebilangan besar adalah pelajar sekolah hanya menggunakan batu dan kayu serta tangan kosong melancarkan bantahan dan tunjuk perasaan bagi menentang tindakan Israel menceroboh Masjid al-Aqsa.
Peningkatan cubaan Israel untuk mengambil alih Masjid al-Aqsa dan kawasan suci al-Haram al-Sharif di Baitulmaqdis adalah tindakan jahat rejim Zionis untuk memenuhi matlamatnya menawan seluruh bumi Palestin.
Pada asalnya Zionisme adalah projek penjajah untuk memenuhi kepentingan golongan kaya Yahudi di Eropah, setelah mereka membantu menggunakan kekayaan mereka bagi membiayai projek penjajahan Eropah pada abad ke-19.
Zionisme yang diasaskan oleh Theodor Herzl pada asalnya adalah satu projek pergerakan sekular dan kemudiannya menggunakan agama untuk menarik penyokong.
Tokoh-tokoh terkemuka Zionis telah mengetengahkan idea untuk membeli tanah-tanah penduduk Palestin dan membawa masuk penduduk Yahudi ke Palestin bagi tujuan menakluknya. Matlamat akhir Program Zionis ialah mengambil alih dan menguasai bumi Palestin.
Hari ini, matlamat itu masih tidak berubah dan usaha Zionis untuk membina Empayar Israel masih gagal kerana dihalang oleh faktor sejarah dan undang-undang antarabangsa.
Misalnya pada Julai 1924, Mandat Britain mengenai Palestin, walaupun memihak kepada Zionisme, mengeluarkan perintah yang menjamin status quo tapak-tapak suci agama di bumi Palestin yang telah wujud berabad-abad sebelum itu.
Apabila pelampau Yahudi melanggar undang-undang itu dan menyerang Dinding Buraq (Dinding Barat) pada 1929, satu jawatankuasa antarabangsa telah ditubuhkan untuk menyiasat insiden itu. Ia menetapkan Dinding Buraq merupakan harta milik umat Islam dan masyarakat Yahudi hanya dibenarkan bersembahyang di situ sebagai memenuhi ‘budaya mereka’ dengan syarat mereka tidak dibenarkan membina sebarang struktur binaan tetap di situ.
Selepas Israel memusnahklan Berek Maghribi (Moroccan Quarter) berusia 800 tahun pada Jun 1967, Yahudi mahu mengambil alih al-Haram al-Sharif di Baitulmaqdis.
Bukan itu sahaja, Yahudi turut membakar Mimbar Saladin pada Ogos 1969, dan membunuh ramai orang Islam yang sedang beribadat, dan tindakan menceroboh Masjid al-Aqsa kali ini, adalah kemuncak kejahatan dan kebiadaban Israel.
Gerakan menakluk seluruh Palestin ini bermula selepas perang 1967, apabila Israel menubuhkan satu gerakan agama dan kumpulan yang dipanggil Gush Emunim, kumpulan sayap kanan yang menggerakkan pembukaan penempatan baharu Yahudi di Tebing Barat.
Keganasan terbaharu Israel itu jelas menunjukkan sifat sebenar Israel yang fanatik, perkauman, dan mahu memperluaskan penaklukannya dengan membina penempatan-penempatan haram Yahudi bagi memastikan ia menguasai sepenuhnya bumi Palestin dan menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Empayar Israel yang tidak boleh dicabar daripada segi agama dan politik.
Selepas perang 1967, Israel memulakan trend keganasan yang dipanggil ‘Gerakan Kuil’, yang mendapat sokongan kerajaan Israel sendiri.
Kumpulan-kumpulan yang mendokong dan memimpin kuil, dibiayai kerajaan dan majlis-majlis perbandaran yang menguasai Baitulmaqdis secara aktif membantu gerakan untuk membina Kuil Ketiga Yahudi di tapak Masjid al-Aqsa.
Kumpulan-kumpulan inilah dibelakang tindakan-tindakan keganasan dan pencerobohan Masjid al-Aqsa. Banyak pihak percaya tindakan provokasi dan keganasan yang dilakukan di Baitulmaqdis akan membantu menjayakan misi mereka itu.
Zionis sedang mempromosi idea bahawa Yahudi yang diwakili oleh Israel, dan Kristian yang mewakili Barat sedang menghadapi cabaran global iaitu ‘radikal Islam’.
Pemimpin-penimpin Israel sudah lama merancang dan merangka strategi untuk mencetuskan konflik dengan menjadikan isu agama sebagai alasan, sejak Perang 1967 selepas berjaya menawan Baitulmaqdis dan mencari jalan bagaimana untuk meningkatkan jumlah penduduk Yahudi dan mengurangkan penduduk Palestin Islam dan Kristian di bandar itu.
Untuk mencapai matlamat itu, Israel merangka beberapa undang-undang yang membolehkan mereka menguasai Baitulmaqdis dan secara sisetmatik menyingkirkan penduduk Palestin dari situ.
Israel merancang menetapkan penduduk Palestin di Baitulmaqdis hanya berjumlah 12 peratus dan baki 88 peratus adalah penduduk Yahudi, dengan Israel menguasai kedaulatan penuh ke atas seluruh Baitulmaqdis, kecuali perkampungan Beit Hanina dan kawasan-kawasan sekitarnya.
Jika pada 1972, Perdana Menteri Israel ketika itu, Golda Meir mahu menetapkan penduduk Baitulmaqdis terdiri daripada 78 peratus Yahudi dan 22 peratus Arab, kini strategi itu telah berubah dengan pemimpin Israel merancang untuk menubuhkan “Baitulmaqdis Metropolitan” yang mengandungi kira-kira 10 peratus kawasan Tebing Barat.
Ini termasuk semua kawasan penempatan haram Yahudi yang dibina di luar sempadan majlis perbandaran Baitulmaqdis dan tidak termasuk kawasan Palestin yang terletak di luar dinding pemisah.
Israel mempunyai Pelan Induk Baitulmaqdis 2020 bagi menjayakan misi itu.
Israel merancang untuk membina sebuah biara (synagogue) di dalam kawasan Masjid al-Aqsa, sehingga membakar kemarahan penduduk Islam Palestin.
Israel begitu bijak mengolah isu pencerobohan Masjid al-Aqsa, “melindungi” niatnya untuk merobohkan masjid itu sehingga umat islam menyangka ini adalah isu domestik.
Bagaimanapun cubaan mereka itu gagal kerana masyarakat antarabangsa dan undang-undang antarabangsa menghalang niat mereka:
Setelah gagal projek kuil 1967, gerakan itu diteruskan di bawah Pelan Induk Yahudi 2020 yang mempunyai sasaran yang sama tetapi pendekatan yang berbeza.
Israel mahu mengheret penduduk Palestin dan Arab ke dalam perang agama antara orang Islam dan Yahudi.
Oleh Mustafa Kamal Basri,
Azrul Hakimie Anuer dan
Basir Abu Bakar