Thursday 17 December 2015

Rejim Zionis tembak mati dua penduduk Tebing Barat



AFP -

BEBERAPA orang penduduk Palestin melihat dua buah kereta yang dipenuhi peluru selepas serbuan oleh tentera Israel di kem pelarian Qalandiya semalam.

 QALANDIYA – Beberapa pertempuran dilaporkan berlaku di wilayah Palestin semalam selepas tentera Israel menyerbu sebuah kem pelarian dekat bandar Ramallah di Tebing Barat. Tentera Israel menembak mati dua penduduk Palestin yang cuba menggunakan kereta mereka untuk merempuh tentera rejim. Tentera Israel memaklumkan tiga anggotanya ce­dera termasuk seorang yang parah tetapi me­negaskan pihaknya masih menyiasat sama ada ke­ce­deraan tersebut di­sebabkan oleh peluru sesat yang ditembak anggota tentera lain. Empat warga Palestin turut cedera di kem pela­rian Qalandiya di Tebing Barat yang diduduki rejim Zionis, berhampiran pos kawalan tentera Israel dekat Baitulmuqaddis, kata Kementerian Kesihatan Palestin. “Malam ini (semalam), ketika satu operasi untuk menahan warga Palestin yang dikehendaki dan me­rampas senjata api di kem pelarian Qalandiya, dua individu cuba menyerang pasukan keselamatan de­ngan cara rempuhan kereta di dua kawasan berbeza kem tersebut,” jelas tentera Israel dalam satu kenyataan akhbar. Kementerian Kesihatan Palestin mengesahkan mangsa sebagai Ahmad Jahajha, 21, dan Hekmat Hamdan yang tidak diketahui umurnya. Beberapa saksi mendakwa, pertempuran berlaku ketika serbuan dibuat dan berlarutan selama beberapa jam. Dua buah kereta kemudian dilihat dengan ba­nyak lubang kesan peluru di kem tersebut. Serbuan itu dibuat susulan serangan hampir setiap hari menggunakan pisau, senjata api dan rempuhan kereta oleh penduduk Palestin di samping pertempuran dengan tentera Israel sejak 1 Oktober lalu. Keganasan itu telah me­ragut nyawa 119 penduduk Palestin, 17 warga Israel, dan masing-masing seorang mangsa dari Amerika Syarikat dan Eritrea. Ramai daripada mangsa di pihak Palestin merupakan penyerang sementara yang lain ditembak mati anggota keselamatan Israel ketika berlakunya pertempuran. – AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1217&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3uWaA78vG 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment