BAITULMAQDIS 20 Dis. – Israel merancang merampas hak puluhan ribu penduduk Palestin ke atas kediaman mereka di Baitulmaqdis Timur ketika tindakan agresif rejim Zionis ke atas penduduk Palestin berterusan.
Portal Press TV memetik saluran televisyen Israel, Channel 2 melaporkan, tindakan tersebut yang dicadangkan oleh Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu pada mesyuarat Kabinet pada bulan lepas, menyasarkan 230,000 penduduk Palestin yang memegang permit penduduk di Baitulmaqdis Timur dan tinggal di kem pelarian Shu’fat serta kawasan kediaman Jafri Aqab dan Sawahra.
Pakar hal ehwal penempatan Palestin, Kahil Tufakji berkata, cadangan Netanyahu itu turut memberi kesan kepada kawasan perumahan penduduk Arab Palestin di Jabel Mukaber, al-Issawiya, at-Tur dan Beit Hanina.
Menurut Biro Pusat Statistik Palestin, terdapat 350,000 penduduk Palestin dan 200,000 penduduk Yahudi di penempatan haram tinggal di sempadan perbandaran Baitulmaqdis Timur.
Sejumlah 145,000 penduduk Palestin tinggal di luar tembok pemisah yang dibina sepanjang Tebing Barat dan memisahkan kawasan milik Palestin.
Kahil berkata, Israel cuba mengubah demografi di Baitulmaqdis Timur.
Pengarah kumpulan Hak Asasi al-Haq, Shawan Jabarin berkata, sejak penjajahan ke atas Baitulmaqdis Timur oleh Israel pada 1967, rejim Zionis telah melaksanakan polisi komprehensif untuk meningkatkan kawalan ke atas bandar itu dengan melemahkan kehadiran dan hubungan penduduk Palestin di sana.
“Situasi ini dilihat mula dipertingkatkan sejak September lalu,’’ katanya.
Beliau turut menggesa masyarakat antarabangsa menghentikan kerjasama dengan Israel, mengharamkan produk yang dihasilkan oleh penduduk Yahudi di kawasan penempatan haram dan melaksanakan sekatan ke atas rejim Zionis.
No comments:
Post a Comment