Baitulmaqdis: Tentera Israel semalam melancarkan gerakan mencari seorang anggotanya yang mereka khuatir diculik oleh pejuang Palestin ketika gencatan senjata baru dikuatkuasakan semalam.
Pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata, dua askar Israel dilapor terbunuh, dipercayai dalam pertempuran sama yang membawa kepada penculikan itu.
“Tanda awal menunjukkan seorang askar diculik oleh Hamas sebaik gencatan senjata bermula,” kata jurucakap tentera Israel, Leftenan Kolonel Peter Lerner kepada wartawan.
Ketika ditanya sama ada ia bermakna gencatan senjata sudah berakhir, dia menjawab: “Ya. Kami akan meneruskan keganasan di darat.” Hamas, kuasa politik dan tentera utama di Gaza tidak mengesah atau menafikan penculikan itu.
Bagaimanapun, dalam satu kenyataan ia berkata, pengumuman Israel mengenai penculikan itu hanya untuk dijadikan alasan bagi mencabuli gencatan senjata dan melakukan pembunuhan beramai-ramai di Rafah, merujuk kepada pengeboman rambang yang meragut sekurang-kurangnya 50 nyawa, beberapa jam selepas gencatan senjata dikuatkuasakan.
Selain itu, pasukan polis juga melaporkan mengenai kereta kebal tentera Yahudi yang melepaskan tembakan di utara dan timur Gaza pada waktu yang sama.
Bunyi berbalas tembakan turut kedengaran membabitkan kumpulan pejuang dengan tentera rejim Zionis.
Dalam pada itu, Briged Izuddin Al-Qassam berjaya memusnahkan sebuah kereta kebal milik tentera Yahudi dengan tembakan peluru berpandu dan turut menyerang pasukan lain yang datang untuk membantu.
Terdahulu, rejim Zionis itu mengesahkan lima lagi askarnya mati selepas terkena tembakan mortar berhampiran sempadan Gaza awal pagi semalam. menjadikan jumlah askarnya yang terbunuh sejak ia mula melancarkan keganasan 8 Julai lalu kepada 61. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/02
No comments:
Post a Comment