• Konflik di Gaza bukan sahaja memusnahkan infrastruktur tetapi juga meragut nyawa ribuan penduduk Palestin.Konflik di Gaza bukan sahaja memusnahkan infrastruktur tetapi juga meragut nyawa ribuan penduduk Palestin.

GAZA CITY - Satu genjatan senjata kemanusiaan selama 72 jam antara Israel dan Hamas berkuatkuasa di Genting Gaza bermula 8 pagi (waktu tempatan) semalam.

Perjanjian mengenai genjatan senjata diumumkan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry.

Dalam satu kenyataan, Penyelaras Khas dan juga wakil PBB di Baitulmaqdis Robert Serry telah menerima jaminan bahawa semua pihak bersetuju mengadakan genjatan senjata  tanpa syarat di Gaza.

"Genjata senjata bermula pada pukul 8 pagi dan akan berlangsung untuk tempoh 72 jam kecuali jika dilanjutkan. Selama tiga hari ini, segala aktiviti ketenteraan akan dihentikan,"menurut kenyataan itu.

Difahamkan, jalan raya kembali dipenuhi orang ramai yang keluar mencari makanan, melawat mangsa cedera di hospital dan mengebumikan saudara mara mereka yang terkorban.

Bagaimanapun, selepas hampir dua jam genjata senjata berkuat kuasa, kereta kebal Israel mengebom bahagian timur Rafah dan mengorbankan sekurang-kurangnya empat nyawa.

Jurucakap polis Gaza Ayman Batniji berkata, 15 yang lain turut cedera dalam serangan berhampiran sempadan Gaza dengan Israel dan Mesir itu.

Pejuang Hamas menyifatkan musuh tidak menghormati genjatan senjata hingga menyebabkan kematian dan kecederaan puluhan penduduk Palestin, dipetik dari laporan dpa.