Saturday 2 August 2014

Israel cabul gencatan senjata


Beberapa orang kanak-kanak Palestin yang cedera dalam serangan Israel dirawat di sebuah hospital di Rafah, selatan Gaza Strip, semalam. - AGENSI
GAZA CITY 1 Ogos - Israel mencabul gencatan senjata dengan Hamas, beberapa jam selepas ia dikuatkuasakan hari ini dengan melancarkan serangan kereta kebal di bandar Rafah, selatan Gaza mengakibatkan lapan penduduk Palestin terkorban.
Ini diikuti dengan serangan udara tidak lama kemudian di Gaza yang mengorbankan 40 orang lagi penduduk Palestin.
Dalam pada itu, beberapa jam sebelum gencatan dikuatkuasakan, tentera Israel membunuh sekurang-kurangnya 17 penduduk Palestin, termasuk 10 orang daripada satu keluarga dalam satu serangan udara di pekan Khan Younis di selatan Gaza.
Sayap bersenjata Hamas, Briged Al-Qassam pula berjaya membunuh lima askar Israel, menjadikan korban di pihak Israel meningkat kepada 66 orang, tiga daripadanya penduduk awam.
Israel dan Hamas sebelum itu bersetuju melaksanakan gencatan senjata selama 72 jam bermula pada pukul 8 pagi waktu tempatan hari ini (pukul 1 petang waktu Malaysia) bagi memberi laluan kepada misi kemanusiaan di Gaza selepas penduduk Palestin mengalami kekurangan bekalan makanan, ubat-ubatan dan rawatan.
Gencatan senjata itu diusahakan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sekali gus diharap akan membuka jalan kepada kedua-dua pihak untuk berunding mencari jalan perdamaian, namun Israel mencabuli gencatan senjata itu dengan mendakwa Hamas dan beberapa kumpulan pejuang Palestin lain mencabuli gencatan senjata selama 72 jam itu, tetapi tidak menjelaskan lebih lanjut perkara tersebut, walaupun media rejim Zionis Israel mendakwa askar Israel ditembak oleh lelaki bersenjata yang tidak dikenali di kawasan Rafah.
Di Baitulmaqdis, pihak berkuasa Israel membunyikan siren amaran ekoran serangan roket Hamas dari Gaza selepas Israel melancarkan serangan di Rafah, tetapi tiada kematian atau kerosakan dilaporkan di wilayah Israel.
Persetujuan itu dicapai ketika angka korban akibat serangan Israel di Gaza meningkat kepada 1,450 orang, dua pertiga daripada mereka adalah orang awam Palestin, dan lebih 8,200 lagi cedera, jumlah yang melebihi angka kematian ketika operasi ketenteraan rejim Zionis Israel ke atas Gaza pada 2009.
Sementara itu, Kerry ketika bercakap di New Delhi, India bagaimanapun berkata, walaupun gencatan senjata dipersetujui, Israel masih boleh melancarkan operasi ketenteraan untuk memusnahkan terowong-terowong yang dibina Hamas yang menjadi ancaman terbesar Israel sepanjang kempen ketenteraan ke atas Gaza yang bermula pada 8 Julai lalu. - AFP/AGENSI/REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140802/lu_03/Israel-cabul-gencatan-senjata#ixzz39BDfFcra
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment