Saturday, 2 August 2014

Israel cabul gencatan senjata


SEBUAH peluru berpandu milik tentera Israel yang tidak meletup mendarat di sebatang jalan raya di Deir al-Balah, selatan Gaza semalam.


BANDAR GAZA - Gencatan senjata selama tiga hari yang dipersetujui antara tentera Israel dan pejuang Hamas yang bermula semalam hanya bertahan selama beberapa jam selepas sekurang-kurangnya 40 penduduk Gaza terkorban dalam satu serangan tentera Zionis di selatan Rafah.
Gencatan senjata yang diumumkan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu berkuat kuasa pada pukul 8 pagi waktu Gaza semalam.
Namun, Israel menamatkan gencatan senjata itu beberapa jam selepas ia dikuatkuasakan.
Gencatan senjata itu dicapai selepas berlakunya pertempuran sengit antara para pejuang Hamas dengan tentera Israel.
Namun, Israel dan Hamas saling menuduh sebagai pihak yang menyebabkan gencatan senjata itu gagal dilaksanakan selama tiga hari.
"Pendudukan Israel di Gaza ini yang mencabul gencatan senjata. Pejuang Palestin adalah berasaskan hak untuk mempertahankan diri dan menghentikan pembunuhan beramai-ramai penduduk kami," kata jurucakap Hamas, Fawzi Barhum dalam satu kenyataan.
Israel berikrar akan mengambil tindakan tegas terhadap pejuang-pejuang Palestin di Gaza yang didakwa mencabul gencatan senjata yang baru beberapa jam dikuatkuasakan.
"Israel akan mengambil tindakan tegas sebagai tindak balas terhadap tindakan agresif Hamas dan kumpulan pengganas di Genting Gaza," kata satu kenyataan tentera Israel.
Setiausaha Negara AS, John Kerry sebelum ini memberi amaran gencatan senjata tersebut bukan satu jaminan bahawa ia akan menamatkan peperangan yang masuk minggu keempat tersebut.
Hampir dua jam selepas gencatan senjata itu berkuat kuasa, kereta kebal Israel membedil satu lokasi di barat Rafah yang bersempadan dengan Isreal dan Mesir yang menyebabkan sekurang-kurangnya empat penduduk Gaza terkorban manakala 15 lagi cedera.

BEBERAPA penduduk Palestin membawa barang-barang keluar dari kediaman mereka yang musnah ekoran serangan tentera Israel di Beit Janoun, Semenanjung Gaza semalam.


Seorang jurucakap tentera Israel memberitahu bahawa satu kejadian berbalas tembakan tercetus di kawasan Rafah tetapi jurucakap tersebut enggan mengulas lanjut.
"Sekali lagi Hamas secara jahat melanggar gencatan senjata yang mereka berikrar untuk patuhi di hadapan Setiausaha Negara AS dan Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon" kata pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam satu kenyataan.
Peperangan tersebut kini sudah meragut lebih 1,499 nyawa penduduk Gaza yang kebanyakannya orang awam manakala seramai 60 warga Israel yang hampir semua mangsa adalah askar terbunuh.
Sekurang-kurangnya empat gencatan senjata kemanusiaan telah diumumkan sejak konflik berkenaan bermula tetapi ia hanya bertahan selama beberapa jam apabila pertempuran kembali tercetus.
Gencatan sementara semalam merupakan yang paling lama diumumkan setakat ini tetapi ia turut menerima nasib yang sama.
Dalam perjanjian gencatan senjata itu, tentera Israel yang berada di Gaza boleh memusnahkan terowong bawah tanah yang berada di belakang garisan pertahanan Israel dan yang menghala ke negara itu.
Netanyahu kelmarin berikrar untuk memusnahkan rangkaian terowong milik Hamas dengan atau tanpa gencatan senjata.
Tentera Israel mula melaksanakan kempen ketenteraan ke atas Gaza sejak 8 Julai lalu untuk menangani serangan roket para pejuang Hamas. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0802&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz39BJNO2MH 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment