Saturday 2 August 2014

Abbas mahu heret Israel ke ICC


Mahmoud Abbas
GAZA CITY 1 Ogos - Presiden Palestin, Mahmoud Abbas melancarkan usaha meraih sokongan rasmi daripada semua kumpulan politik termasuk pesaingnya, Hamas, untuk mengheret Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas kesalahan jenayah perang di Gaza.
Usaha tersebut dijalankan selepas Abbas yang merupakan pemimpin pergerakan Fatah, menerima tekanan hebat daripada pemimpin pergerakan politik lain di Palestin ekoran angka korban yang semakin meningkat di Gaza ekoran kekejaman Israel.
Anggota Parlimen Bebas Palestin, Mustafa Barghouti berkata, Abbas meminta semua ahli politik menandatangani surat sokongan untuk mengemukakan dakwaan ke atas rejim Zionis Israel, dan kesemua mereka memberi kerjasama yang baik.
"Kami telah lama memberi tekanan kepada Abbas dan kini terpulang kepada beliau untuk membuat keputusan sama ada mahu meneruskan tindakan itu," katanya.
Usaha Abbas itu dilaksanakan hanya sehari selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menuduh Israel melakukan jenayah perang ke atas Gaza dalam usaha rejim Zionis Israel memerangi kumpulan Hamas, dan kuasa dunia perlu mengambil kira semua keganasan yang dilakukan Israel.
Pesuruhjaya Tinggi untuk Hak Asasi Manusia PBB, Navi Pillay berkata, Israel mengingkari undang-undang antarabangsa kerana menyerang kawasan awam termasuk hospital, sekolah, rumah dan kemudahan PBB.
Pillay berkata, rejim Zionis Israel turut bertindak melampau batas apabila mengebom pusat bekalan tenaga, sistem pembetungan dan kawasan tadahan air di Gaza, sekali gus dilihat sebagai tindakan sengaja melanggar peraturan antarabangsa yang termaktub dalam Konvensyen Geneva.
Jelasnya, Amerika Syarikat (AS) yang merupakan sekutu kuat Israel juga gagal memainkan peranan yang lebih besar untuk menghentikan pembunuhan orang awam di Gaza dan membawa kesemua pihak terlibat ke meja rundingan, selain menamatkan sekatan ke atas wilayah Palestin itu.
"Mereka (AS) bukan sahaja menyediakan senjata berat yang digunakan Israel ke atas Gaza tetapi memberi dana berjumlah AS$1 bilion (RM3 bilion) untuk membangunkan sistem pertahanan Iron Domes bagi melindungi rakyat Yahudi daripada serangan roket.
"Tetapi adakah AS menyediakan perlindungan yang sama kepada penduduk Gaza daripada dibedil tentera Israel?" katanya. - AGENSI/REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140802/lu_04/Abbas-mahu-heret-Israel-ke-ICC#ixzz39BEgevC7
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment