Friday, 1 August 2014

Krisis kemanusiaan tambah derita penduduk Gaza


Beberapa penduduk Palestin, mengangkat mangsa serangan Israel di sebuah pasar ketika kepulan asap hitam daripada bedilan itu masih menyelubungi lokasi kejadian di Shejaiya, berhampiran Gaza City, kelmarin. AFP
GAZA CITY 31 Julai Kira-kira 1.8 juta penduduk Palestin yang terkepung di Genting Gaza, termasuk di pusat perlindungan dan kem pelarian, berdepan krisis kemanusiaan terburuk ekoran serangan ganas Israel ke atas wilayah itu sejak tiga minggu lalu.
Laporan portal berita Press TV menyebut, masalah kekurangan bekalan utama termasuk makanan, minyak, ubat-ubatan dan peralatan perubatan yang sangat meruncing meningkatkan risiko kematian dalam kalangan penduduk awam walaupun tidak terbunuh akibat dibedil tentera rejim Zionis.
Menurut penduduk tempatan, mereka terpaksa beratur selama berjam-jam hanya untuk mendapatkan roti selain tidak mendapat bekalan minyak, elektrik dan air.
Walaupun bumi Gaza dikurniakan dengan tanah yang subur, para petani tidak dapat mengerjakan ladang atau menuai hasil tanaman ekoran bimbang diserang askar rejim.
Malah penduduk Gaza juga bimbang ke pasar untuk membeli barangan harian selepas kejadian serangan udara tentera Israel ke atas sebuah pasar di Shejaiya, hari ini, mengakibatkan 17 orang maut dan lebih 200 lagi cedera, menjadikan angka korban akibat kekejaman rejim Zionis meningkat kepada 1,390 orang dan lebih 8,000 lagi cedera.
Dalam perkembangan sama, Iran mengecam kerajaan Mesir kerana menangguhkan proses pengeluaran permit untuk membawa bantuan ke Gaza selain memindahkan golongan wanita dan kanak-kanak yang cedera bagi mendapatkan rawatan di tempat selamat.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140801/lu_02/Krisis-kemanusiaan-tambah-derita-penduduk-Gaza#ixzz395PkRU4K
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment