Friday 1 August 2014

AS salur senjata kepada Israel


Seorang tentera Israel menyusun stok peluru meriam di lokasi operasi ketenteraan di sempadan Genting Gaza, semalam. - AFP
WASHINGTON 31 Julai - Amerika Syarikat (AS), hari ini mengesahkan telah menjual bekalan peluru dan bom mortar kepada Israel.
Jurucakap Pentagon, Laksamana Muda John Kirby dalam kenyataannya berkata, tentera Israel meminta bekalan pelurunya dipenuhi semula pada 20 Julai lalu dan Jabatan Pertahanan AS meluluskan pembelian itu tiga hari kemudian.
"AS sentiasa komited terhadap keselamatan Israel dan itu merupakan kepentingan untuk membantu sekutu kuat Washington membangunkan dan mengekalkan keupayaan pertahanan yang kuat.
"Penjualan bekalan peluru dan bom mortar kepada Israel memenuhi tujuan hubungan antara kedua-dua negara," katanya tanpa menjelaskan sama ada White House terlibat dalam keputusan menyalurkan bekalan peluru yang lain.
Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu hari ini berkata, Israel tidak akan sesekali mengundurkan tenteranya dari sempadan Gaza sehingga pihaknya memusnahkan seluruh jaringan terowong Hamas.
Bercakap pada mesyuarat Kabinet khas di Tel Aviv, pemimpin Zionis itu berkata, Israel juga tidak akan menerima sebarang gencatan senjata walaupun mendapat kutukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung jumlah kematian penduduk Palestin yang semakin meningkat.
"Sehingga kini, kami telah memusnahkan banyak terowong Hamas dan kami akan menamatkan misi ini, dengan atau tanpa gencatan senjata.
"Saya tidak akan menerima usul gencatan senjata yang menghalang Israel menjayakan misi untuk memastikan keselamatan penduduk kami," katanya.
Kenyataan itu dibuat Netanyahu selepas Israel mengerahkan kira-kira 16,000 askar simpanan untuk menyokong operasi ketenteraan di Gaza, menjadikan jumlah keseluruhan tentera yang terlibat mencecah 86,000 anggota. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140801/lu_01/AS-salur-senjata-kepada-Israel#ixzz395RDDomh
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment