Friday 1 August 2014

Israel laku jenayah perang



SEORANG ibu mendakap pipi anak perempuannya yang mati akibat serangan tentera Israel di Bandar Gaza semalam.


GENEVA - Seorang pegawai kanan hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menuduh Israel dan Hamas melakukan jenayah perang dalam konflik terbaharu di Gaza.
Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, Navi Pillay berkata, tindakan meletakkan dan melancarkan roket di kawasan padat penduduk seperti yang dilakukan oleh kedua-dua pihak mencabuli undang-undang kemanusiaan antarabangsa sekali gus merupakan satu jenayah perang.
Beliau juga mahu negara-negara kuasa besar menghukum rejim Zionis kerana melakukan jenayah tersebut.
"Israel menyerang kediaman, sekolah, hospital dan premis PBB dalam tindakan yang mencabuli Konvensyen Geneva," kata Pillay.
"Justeru, negara itu melanggar secara sengaja undang-undang antarabangsa yang dikuatkuasakan ke atas Israel," tambah Pillay dalam satu sidang akhbar.
Menurutnya, pencabulan itu tidak boleh dibiarkan begitu sahaja dan Israel mesti dipertanggungjawabkan atas kekejaman tersebut.
"Pejuang-pejuang Hamas di Gaza turut melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa apabila membedil roket ke Israel yang kadangkala dilancarkan dari kawasan padat penduduk," ujarnya.
Pada masa yang sama, beliau mengkritik Amerika Syarikat (AS) kerana gagal menggunakan pengaruhnya untuk meminta rejim Zionis menghentikan kekejaman di Gaza.
AS merupakan sekutu Israel yang paling rapat.
Pillay memberitahu wartawan di Geneva semalam bahawa tindakan serupa pernah berlaku dalam perang Gaza pada 2009 yang menyebabkan PBB merumuskan bahawa Israel sengaja menjadikan orang awam sebagai sasaran sekali gus melakukan jenayah perang, begitu juga Hamas.
Lebih 1,300 penduduk Palestin yang kebanyakannya orang awam dan 59 warga Israel dengan sebahagian besarnya anggota tentera terbunuh dalam keganasan terbaharu itu. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0801&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz399hhJhwM 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment