Friday 1 August 2014

AS bekalkan Israel senjata


Pengesahan itu dibuat selepas ia menyelar serangan terhadap sebuah sekolah yang ditadbir Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di kem pelarian Jabaliya di utara Gaza yang menyebabkan sekurang-kurangnya 16 penduduk Palestin yang berlindung di situ terbunuh.

Washington bagaimanapun enggan menerima hakikat bahawa rejim Zionis yang mengebom sekolah itu walaupun ia disahkan oleh agensi bantuan untuk Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA).
Ketika menjawab soalan wartawan di Washington, timbalan jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat Marie Harf berkata: “Kami tidak tahu siapa yang mengebom sekolah berkenaan. Pada masa sama kita perlu mengumpulkan fakta mengenai serangan itu.” Jurucakap Majlis Keselamatan Kebangsaan Amerika, Bernadette Meehan pula menyalahkan penduduk Palestin kerana berlindung di sekolah berkenaan yang didakwanya menjadi tempat simpanan senjata Hamas.

Dalam pada itu, Pentagon mengesahkan Israel memohon bekalan senjata baru bagi meningkatkan simpanan yang semakin merosot selepas ia digunakan untuk membunuh rakyat Palestin dan memusnahkan Gaza.
Foto
KEPULAN asap menyelubungi ruang angkasa bandar raya Gaza selepas serangan udara terbaru Israel, semalam.

Jurucakap Pentagon Laksamana Muda John Kirby berkata, pihaknya menerima permohonan itu 20 Julai lalu dan kelulusan untuk memenuhi permintaan itu dibuat tiga hari kemudian.
Foto
ANTARA kanak-kanak Palestin yang terbunuh dalam kekejaman Israel dikebumikan semalam.
“Amerika Syarikat komited dengan keselamatan Israel. Ia amat penting bagi Amerika Syarikat membantu Israel dalam usaha meningkat dan mengekalkan pertahanannya,” kata Kirby.

Selepas 23 hari melancarkan keganasan, Israel dengan bantuan senjata Amerika Syarikat membunuh lebih 1,360 rakyat Palestin.
Washington sejak dulu lagi membekalkan senjata kepada negara Zionis itu, termasuk membiayai Kubah Besi, sistem pertahanan peluru berpandu yang bertujuan melindungi Israel daripada serangan roket Hamas.

Anggota Dewan Senat negara itu kini berusaha menyediakan pakej sokongan tambahan ketenteraan berjumlah AS$225 juta (RM720.5 juta) kepada Israel walaupun kumpulan hak asasi manusia Amnesty International menggesa Washington menghentikan bantuan itu. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/01

No comments:

Post a Comment