Tuesday 5 August 2014

Israel tipu masyarakat dunia


GAZA/BAITULMAQDIS 4 Ogos - Israel dilihat cuba mengaburi masyarakat antarabangsa dengan melancarkan gencatan senjata sebelah pihak selama tujuh jam, hari ini selepas tindakannya mengebom sebuah sekolah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Rafah, semalam menerima kecam hebat daripada masyarakat antarabangsa.
Gencatan senjata itu menurut Israel dikuatkuasakan bagi memudahkan kemasukan bantuan kemanusiaan dan membenarkan sebahagian pelarian Palestin pulang ke rumah masing-masing.
Tentera Israel mengebom sekolah PBB, semalam mengorbankan kira-kira 10 orang penduduk Palestin yang mencari perlindungan di situ.
Seorang pegawai pertahanan Israel berkata, gencatan senjata itu bermula dari pukul 10 pagi hingga pukul 5 petang waktu tempatan (pukul 3 petang hingga pukul 10 malam waktu Malaysia) di kebanyakan kawasan di Gaza, kecuali kawasan di selatan bandar Rafah.
"Sekiranya gencatan senjata dicabuli, tentera (Israel) akan membalas serangan itu,'' kata pegawai yang enggan dikenali, sambil menambah, kereta kebal Israel yang berada di timur Rafah kini telah ditempatkan di sempadan Gaza dan Israel sepanjang hujung minggu lalu sebagai langkah bersiap sedia.
Sementara itu, utusan Hamas yang berada di Mesir bagi menghadiri rundingan membincangkan gencatan senjata melihat kemungkinan tipu muslihat Israel dengan pengumuman gencatan senjata itu selepas tindakan Israel mengebom sebuah sekolah PBB dikecam masyarakat antarabangsa.
"Israel mengumumkan gencatan senjata sebelah pihak bertujuan untuk mengalihkan perhatian terhadap pembunuhan beramai-ramai (penduduk Palestin) yang mereka lalukan. Kami tidak percaya kepada gencatan itu dan kami menggesa orang ramai supaya kekal berwaspada.'' kata jurucakap pergerakan itu, Sami Abu Zuhri. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140805/lu_07/Israel-tipu-masyarakat-dunia#ixzz39SnAvyYX
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment