Tuesday 5 August 2014

Boikot berkesan gugat ekonomi Israel


TEL AVIV 4 Ogos - Menteri Kewangan Israel, Yair Lapid memberi amaran bahawa kempen boikot yang semakin meningkat di seluruh dunia terhadap Israel akan memberi kesan buruk kepada ekonominya.
Laman web World Observer memetik kenyataan Lapid sebagai berkata, tindakan boikot itu dikhuatiri menjejaskan ekonomi Israel kerana dunia semakin hilang simpati dan kesabaran terhadap tindakan yang diambil oleh rejim Zionis tersebut.
"Saya memberi amaran, kempen boikot yang semakin meningkat akan memberi kesan yang sangat teruk kepada ekonomi Israel," kata Lapid yang juga merupakan pengerusi Parti Yesh Atid, di sini hari ini.
Kenyataan itu dibuat selepas Kesatuan Akademik AS (ASA) bertindak memboikot institusi pendidikan Israel yang beroperasi dan menyokong penempatan haram di Tebing Barat.
Selain itu, syarikat pencen gergasi Belanda, PGGM dan Bank Danske dari Denmark turut memboikot Israel atas alasan yang sama.
Sementara itu, rangkaian bank terbesar Jerman, Deutsche Bank bertindak menyenaraihitam Bank Hapoalim milik Israel dengan menyifatkannya sebagai 'syarikat tidak beretika' kerana menyalurkan dana pembinaan penempatan haram Yahudi di wilayah Palestin di Tebing Barat.
Tahun lalu, tindakan boikot terhadap produk pertanian keluaran Lembah Jordan yang diduduki secara haram oleh Yahudi telah menyebabkan kerugian berjumlah AS$29 juta (RM92.87 juta).
Washington Post melaporkan, pendapatan daripada aktiviti eksport barangan Israel menurun sebanyak 14 peratus, selepas rangkaian pasar raya gergasi di Eropah bertindak memboikot produk-produknya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140805/lu_06/Boikot-berkesan-gugat-ekonomi-Israel#ixzz39Smoi92V
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment