Tuesday 5 August 2014

Aqsa Syarif salur RM3 juta


Kuala Lumpur: Lebih RM3 juta (AS$1.08 juta) bantuan dalam pelbagai bentuk antaranya bekalan makanan serta ubat-ubatan sudah disalurkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Aqsa Syarif sejak tercetus serangan Israel terhadap Palestin, awal bulan lalu.

Pengerusi Aqsa Syarif Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor berkata, pihaknya menyalurkan bantuan itu hasil sumbangan rakyat Malaysia dan pihaknya memberi keutamaan kepada barangan keperluan asas dan makanan kepada rakyat Palestin.

Menurutnya, pihaknya juga turut membekalkan makanan panas kepada lebih 11,000 pelarian Palestin yang mendapat perlindungan di 10 pusat perlindungan milik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang terletak di sekitar Bandar Gaza.

“Bagi tujuan pembekalan makanan panas kepada pelarian Palestin, kami memperuntukkan RM112,000 (AS$32,000) sehari dan bantuan itu dimulakan sejak awal Ramadan lalu.

“Pada hari ini, saya dimaklumkan pegawai kami di sana (Gaza) peruntukan itu sudah hampir habis dan kami akan membuat penilaian semula supaya bantuan itu dapat diteruskan dan tidak putus,” katanya, semalam.

Dr Hafidzi berkata, beliau difahamkan 16 trak membawa pelbagai bekalan sudah disalurkan kepada rakyat Palestin sehari sebelum Syawal iaitu sempena genjatan senjata 12 jam yang dimeterai Israel dan Hamas.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebuah trak yang membawa bekalan bernilai RM210,000 (AS$60,000) adalah daripada Malaysia dan bekalan berkenaan diagihkan kepada hospital yang berada di sekitar Gaza.

“Selain itu, 20 ambulans termasuk lapan daripadanya sumbangan rakyat Malaysia menunggu masa dibawa masuk ke Palestin dan ia bergantung kepada persetujuan pihak berkuasa Mesir.

“Kami sememangnya berhasrat untuk menghantar pasukan perubatan ke Gaza yang terdiri daripada pakar ortopedik bagi membantu petugas perubatan di sana, namun semua itu bergantung kepada keputusan kerajaan Mesir,” katanya.

Katanya, sehingga kini, pintu sempadan Rafah yang menghubungkan Mesir-Palestin masih ditutup dan membataskan bantuan disalurkan kepada negara berkenaan.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/05

No comments:

Post a Comment