Sunday, 27 July 2014

Sengsara menjelang Aidilfitri


TATKALA umat Islam lain bakal menyambut Aidilfitri esok, bumi Gaza terus dihujani peluru berpandu (dalam bulatan) Israel di utara Gaza, semalam. - REUTERS
GAZA CITY 26 Julai - Ketika umat Islam di seluruh dunia sedang sibuk membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang jatuh pada Isnin ini, kira-kira 1.8 juta penduduk Palestin di Genting Gaza pula terus hidup dalam ketakutan akibat serangan besar-besaran Israel.
Bedilan bom sama ada dari udara dan kereta kebal tentera Zionis seolah-olah tidak jemu menjadikan mereka sebagai sasaran, membuatkan mereka tidak mempunyai pilihan selain melarikan diri atau bersembunyi di dalam rumah masing-masing.
Masjid, sekolah dan hospital yang sepatutnya tidak menjadi mangsa serangan bom turut menjadi sasaran bedilan tentera Zionis dalam konflik antara pergerakan Hamas dan Israel yang memasuki hari ke-20 sejak tercetus pada 8 Julai lalu.
Seorang penduduk, Fatima, 47, dan cucunya merupakan antara penduduk Gaza yang terpaksa tinggal berhimpit-himpit di sebuah pangsapuri selepas konflik itu bermula.
"Mereka (cucu) mahu keluar daripada rumah, tetapi keadaan tidak selamat," katanya merujuk kepada rutin harian mereka sejak 8 Julai lalu sebagaimana lapor portal The National.
Malah, sejak konflik itu bermula, penduduk Gaza kerap mengalami gangguan bekalan elektrik yang merumitkan lagi urusan harian mereka.
Kebiasaannya, menjelang Aidilfitri, penduduk Gaza akan membeli-belah serta melakukan persiapan raya, namun keadaan yang tidak selamat kini memaksa mereka berlin­dung dan tidak boleh berbuat apa-apa.
Mayat seorang lelaki terbiar di sebalik runtuhan bangunan selepas bedilan Israel mengenai kawasan perumahan mereka di Beit Hanun, utara Genting Gaza, semalam. - AFP
"Tidak ada sambutan Aidilfitri bagi penduduk Gaza tahun ini. Terlalu banyak kematian dan kehilangan buat kami," kata seorang lagi penduduk bernama Ballawi.
Israel menerusi Operasi Perlindungan Sempadan terus menggempur Gaza dari darat dan udara serta menyerang kepentingan awam dengan mendakwa Hamas menyembunyikan senjata mereka di situ.
Konflik itu setakat ini telah membunuh lebih 1,000 penduduk Gaza dengan kebanyakan jumlah yang terkorban merupakan orang awam.
Kira-kira 46 buah sekolah, 56 buah masjid dan tujuh hospital turut tidak terkecuali menjadi bedilan tentera Israel.
Konflik selama 20 hari itu juga mengakibatkan 5,860 penduduk Gaza cedera dibedil kira-kira 5,300 serangan bertali arus tentera Zionis yang masih gagal dihentikan oleh mana-mana kuasa besar mahupun Mesir yang sebelum ini berjaya menjadi orang tengah kepada gencatan senjata antara Hamas dan Israel.
Lebih 100,000 penduduk Gaza terpaksa meninggalkan rumah masing-masing selepas serangan tentera Zionis setakat ini telah memusnahkan kira-kira 4,329 buah rumah penduduk.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140727/lu_04/Sengsara-menjelang-Aidilfitri#ixzz38cNjcTel
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment