Sunday, 27 July 2014

Gencatan senjata 12 jam dikuatkuasakan


Penduduk Palestin menggunakan kesempatan gencatan senjata untuk pulang ke rumah dan mengambil barangan peribadi mereka di Shejaiya, semalam. - REUTERS
GAZA CITY 26 Julai - Gencatan senjata selama 12 jam berkuatkuasa hari ini selepas Israel dan pergerakan Hamas di Genting Gaza bersetuju dengan permintaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mahu pertempuran dihentikan seketika dalam usaha memastikan gencatan senjata jangka panjang dapat dijalankan.
Ratusan penduduk Palestin memenuhi jalan-jalan utama sejurus gencatan senjata dikuatkuasakan dengan ada di antaranya kembali ke rumah masing-masing bagi memeriksa kesan kemusnahan akibat serangan tentera Israel dan selebihnya mengeluarkan duit bagi membeli makanan untuk disimpan.
Jumlah korban penduduk di Gaza semasa hari ke-20 konflik antara Israel dan Hamas juga meningkat kepada sekurang-kurangnya 1,000 orang, sebelum gencatan senjata rapuh selama 12 jam itu dikuatkuasakan.
Gencatan senjata itu bermula pada pukul 8 pagi waktu tempatan
(1 petang waktu Malaysia).
Israel bagaimanapun enggan melanjutkan gencatan berkenaan.
Beberapa jam sebelum itu, satu serangan udara tentera Israel di selatan Gaza, membunuh sebanyak 20 orang penduduk Palestin termasuk 11 kanak-kanak, dengan kebanyakan mangsa berasal dari sebuah keluarga besar.
Jurucakap perkhidmatan kecemasan, Ashraf al-Qudra berkata, serangan di selatan Khan Younis itu mengenai rumah keluarga keturunan Najjar, membunuh sekurang-kurangnya 14 ahli keluarga tersebut.
Dua lagi yang maut adalah ahli keluarga Abu Shahla, manakala dua daripada empat mayat masih belum dikenal pasti.
Ashraf berkata, kematian itu turut melibatkan 11 kanak-kanak antaranya yang berusia setahun dan kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun.
Jumlah itu bagaimanapun dijangka terus meningkat ketika usaha-usaha mengeluarkan mangsa yang terperangkap di balik runtuhan beberapa buah rumah di daerah yang terkena serangan tentera Israel iaitu di Beit Hanun di utara, Shejaiya dan Zaitun di timur dan Khan Younis di selatan Gaza masih giat dijalankan.
Tentera Israel dalam pada itu mengumumkan kematian dua lagi anggota tenteranya di Gaza.
Dalam perkembangan berasingan di Tebing Barat, tentera Israel menembak mati dua remaja Palestin yang meneruskan bantahan mereka ke atas kempen ketenteraan Israel di Gaza.
Menurut pihak keselamatan Palestin, mangsa yang terkorban adalah Nasri Mahmud Paqatqa, 16, dan lima yang lain cedera dalam satu pertempuran di kampung Beith Fajar, selatan Baitulaham, manakala seorang lagi, remaja Bassem Abu Rub, 18, terkorban dalam protes di pusat pemeriksaan tentera Jalama di utara Tebing Barat. - AFP/REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140727/lu_05/Gencatan-senjata-12-jam-dikuatkuasakan#ixzz38cNz7nGQ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment