Sunday, 27 July 2014

Duit raya beli senapang


Tinggal sehari lagi untuk kita menyambut Aidilfitri. Saya yakin, di seluruh Malaysia kini berlaku kesesakan di pusat beli-belah dan di lebuh raya.
Golongan ibu pula sibuk membuat kuih-muih serta menghias rumah bagi menyambut kepulangan anak dan cucu masing-masing. 
Itu senario biasa di Malaysia, tetapi di Gaza kini saya jangkakan tiada sambutan Aidilfitri kerana ledakan bom dan roket dilepaskan tentera Zionis bagaikan tidak berpenghujung. Sehingga saat ini, seluruh Gaza masih dihujani peluru. 

  Hanya satu kemungkinan sambutan Aidilfitri berlaku di sini, itupun jika adanya genjatan senjata selama satu hari dipersetujui antara Hamas dan Israel. Jika ada pun, mungkin sambutan Aidilfitri kali ini tidak semeriah tahun lalu.
Foto
KANAK-KANAK Palestin memegang senjata mainan pada satu demonstrasi di sebuah kem pelarian di selatan Lubnan.

Kakitangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang juga rakan baik saya, Abdullah berkata, dalam keadaan begini tidak mungkin ada sambutan Aidilfitri.

“Jika berlaku genjatan senjata pun, rasanya seluruh Semenanjung Gaza tetap dalam keadaan berkabung dan masih bersedia untuk berperang. 

“Yang paling sedih kanak-kanak sebab tidak dapat beraya...tapi apakan daya,” kata Abdullah ketika pertemuan dengannya di kawasan Shijaiyyah, kelmarin. 

Untuk makluman semua, tahun lalu saya berkesempatan menyambut dua hari besar bagi umat Islam iaitu Aidilfitri dan Aidiladha di Gaza. Jadi, elok rasanya saya kongsikan bagaimana sambutan dan kemeriahannya di sini. 

Pada hari pertama bermulanya Ramadan lagi kebanyakan rumah akan dihias dengan lampu kelip-kelip. Seminggu sebelum Aidilfitri, pasar raya dan kedai menjual kuih-muih akan dipenuhi ramai orang yang mahu melakukan persiapan seperti membeli baju raya. 

Malah, pada malam Aidilfitri pula, kesesakan luar biasa akan berlaku di jalan di seluruh Gaza. Malah, kedai dan pasar raya juga akan dibuka sehingga lewat pagi untuk memberi peluang kepada orang ramai yang mahu membeli-belah pada saat akhir. 

Satu perkara luar biasa yang tidak pernah saya lihat di Malaysia yang menjadi amalan rakyat Gaza iaitu berarak pada malam Aidilfitri. 

Mereka akan berkumpul beramai-ramai sebelum berarak mengelilingi perkampungan sambil berselawat dan memanjatkan pujian kepada Allah SWT. 

Pada raya pertama pula, mereka akan berkunjung atau menziarahi sanak saudara manakala hari kedua dan ketiga pula, ketua keluarga akan membawa seluruh keluarga besar mereka ke pusat peranginan atau taman tema untuk berhibur. 

Sambutan mereka hanya untuk tiga hari pertama, bukan seperti di Malaysia hampir sepanjang bulan ada sambutan. 


Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/27

No comments:

Post a Comment