Sunday, 27 July 2014

Gencatan senjata selama 12 jam


ORANG ramai melihat sebahagian ahli keluarga al-Najar yang terbunuh selepas rumah mereka di bom tentera udara Israel di Khan Younis di selatan Semenanjung Gaza semalam.


GAZA - Gencatan senjata kemanusiaan selama 12 jam bermula semalam selepas Israel dan pergerakan Hamas bersetuju dengan permintaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menghentikan serangan sekali gus membolehkan rundingan bagi gencatan senjata jangka panjang dimulakan.
Pegawai kesihatan Gaza berkata, seramai 18 orang dalam satu keluarga terkorban terkena bedilan kereta kebal Israel di selatan Gaza tidak lama sebelum gencatan senjata berkuasa kuasa pada pukul 8 pagi waktu Gaza.
Tentera Israel berkata, pihaknya akan menghentikan serangan selama 12 jam tetapi akan meneruskan usaha mencari dan memusnahkan terowong yang digunakan oleh pejuang Hamas.
Seorang jurucakap Hamas berkata, semua kumpulan pejuang juga akan patuh dengan gencatan senjata berkenaan.
Beratus-ratus penduduk Gaza keluar membanjiri jalan raya untuk mencari barangan keperluan beberapa minit selepas gencatan senjata dikuatkuasakan.
Beberapa penduduk kembali ke rumah masing-masing bagi melihat kerosakan kediaman mereka akibat serangan tentera Yahudi dan sebilangan lagi penduduk berbaris mengeluarkan wang di bank untuk membeli makanan.
Sebelum gencatan senjata dikuatkuasakan pertempuran tercetus lagi dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry kini berada di Timur Tengah bagi mencari jalan menamatkan konflik selama 19 hari yang sudah meragut lebih 1,000 nyawa penduduk Gaza yang majoriti adalah orang awam termasuk wanita serta kanak-kanak.
Para pegawai di Gaza berkata, lima orang terbunuh dalam beberapa serangan udara tentera Israel pada malam kelmarin dan pejuang Hamas pula melancarkan berpuluh-puluh roket ke selatan serta tengah Israel.
Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan oleh Israel kerana kebanyakan roket berjaya dipintas oleh sistem pertahanan peluru berpandu Israel.
Seorang pegawai kesihatan Gaza, Ashraf Al-Qidra berkata, seramai 18 ahli daripada sebuah keluarga di kampung Khuzaa di Khan Younis terbunuh selepas kediaman mereka musnah terkena bedilan meriam kereta kebal Israel.
Jurucakap tentera Israel memberitahu, dua lagi askarnya terbunuh ketika bertempur dengan pejuang Hamas di Gaza menjadikan jumlah korban meningkat kepada 37 orang.
Jurucakap itu turut mengumumkan bahawa seorang askarnya yang hilang dalam satu serangan hendap di Gaza enam hari lalu telah terbunuh walaupun mayatnya tidak dijumpai.
Pejuang Hamas sebelum ini mendakwa berjaya menangkap askar berkenaan tetapi tidak memaparkan gambar lelaki tersebut. - Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0727&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz38cX8ltvg 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment