Monday, 21 July 2014

Puluhan ribu bantah Israel di London, Paris


BERIBU-ribu penunjuk perasaan mengadakan bantahan besar-besaran bagi mengutuk kekejaman Israel ke atas Genting Gaza di Marseille, Perancis, kelmarin. - AGENSI
LONDON 20 Julai - Beberapa lokasi di tengah kota London semalam lumpuh apabila beribu-ribu penyokong pro-Palestin berarak bagi membantah serangan Israel ke atas Gaza, manakala di Paris satu tunjuk perasaan sama bertukar ganas.
Beberapa penganjur tunjuk perasaan di London mendakwa, berpuluh-puluh ribu orang menyertai perarakan tersebut yang bermula dari pejabat Perdana Menteri Britain, David Cameron ke Kedutaan Israel.
Kesemua penunjuk perasaan melaungkan bantahan 'Israel negara pengganas'.
Polis enggan memberi jumlah anggaran penunjuk perasaan, namun beberapa batang jalan raya memasuki pusat bandar telah ditutup untuk perarakan sejauh 4.8 kilometer yang berlangsung secara aman.
Sementara itu di Paris berlaku sebaliknya, apabila tunjuk pe­rasaan bertukar ganas selepas ratusan penunjuk perasaan melanggar peraturan perhimpunan dengan membaling batu dan botol ke arah polis antirusuhan yang kemudian bertindak balas melepaskan gas pemedih mata.
Seramai 33 orang ditangkap petang semalam, kata sumber polis, manakala tiga anggota polis cedera dalam pertempuran di Montmartre di utara Paris.
Beberapa tunjuk perasaan dibenarkan di beberapa buah bandar di Perancis, yang menyaksikan beribu-ribu peserta hadir memberi sokongan termasuk di Lyon, Marseille dan Strasbourg, manakala beberapa ribu penyokong lain berhimpun sebagai tanda sokongan bersama Palestin di Brussels, Belgium. - AFP/REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140721/lu_02/Puluhan-ribu-bantah-Israel-di-London-Paris#ixzz383Gp5C4z
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment