Monday, 21 July 2014

Angka korban lepasi 400


Sehubungan itu, Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa mendesak kedua-dua pihak mengadakan gencatan senjata sementara bagi mengangkat mangsa yang terbunuh dan yang cedera. 
Di kejiranan Sheijaya, ambulans berkejar untuk mengangkat mangsa, mengambil kesempatan terhadap gencatan senjata itu yang berakhir kurang sejam. 

Kematian semalam meningkatkan jumlah warga Palestin yang terbunuh menjangkau 410 orang dengan kebanyakan mangsa terdiri daripada kanak-kanak dan wanita.
Foto
SEORANG doktor gagal menahan kesedihan melihat empat mayat kanak-kanak di Hsopital Shifa, Gaza.
Foto
MAYAT kanak-kanak yang ditempatkan di Hospital Shifa.
Foto
SUASANA kelam-kabut di sekitar kejiranan di Gaza ketika serangan tentera Israel.

Sementara itu, ribuan penduduk di utara Gaza meninggalkan kediaman masing-masing selepas semalaman berdepan serangan Israel.

Pihak berkuasa kesihatan Palestin menjangka jumlah kematian dan kecederaan akan meningkat lagi dengan ancaman Israel untuk meluaskan lagi keganasan mereka. 


Hamas setakat ini enggan menyerah kalah walaupun diserang dari darat, udara dan air, malah meneruskan serangannya terhadap tentera Israel yang menyebabkan kematian dua askar Yahudi. 

Di Shejaiya, mayat bergelimpangan di jalan raya. Serangan Israel tanpa henti menyebabkan ambulans sukar sampai ke kawasan berkenaan. 

Di Hospital Shifa, mangsa yang cedera dibawa masuk hampir setiap minit. Ada yang dibawa menggunakan ambulans, namun ramai daripada mereka dibawa menggunakan kereta dan trak. 

Mangsa termasuk kanak-kanak yang menjerit kesakitan akibat kecederaan. 
Malangnya, seorang budak tidak sempat diselamatkan dan mayatnya terbujur kaku. 

Keadaan juga kecoh, malah pergaduhan turut tercetus apabila ibu bapa yang panik menumbuk dinding hospital untuk melepaskan kesedihan dan amarah mereka. 

Sementara itu, jurucakap pasukan perkhidmatan kecemasan Ashraf al-Qudra berkata, sekurang-kurangnya 20 mayat ditemui di timur Shejaiya, namun kebakaran di kawasan itu menyukarkan usaha mencari lebih ramai yang dipercayai masih terperangkap. 

Dalam kekecohan itu, seorang wanita, Sabah Mamluk, 40, tiba di hospital itu bersama ibu dan dua anak perempuannya yang masing-masing tidak berkasut. 

“Tembakan dilepaskan tanpa henti dan peluru berterbangan merata-rata. Kami sekeluarga berlari keluar dan mula berjalan... Memang menakutkan. 

“Kami terpaksa berpecah. Saya berjaya menaiki ambulans bersama ibu dan anak-anak untuk datang ke sini, namun suami serta anak lain masih di luar sana dan saya tidak dapat menghubungi mereka,” katanya sebak. 

Israel meningkatkan serangan mereka dengan melepaskan bedilan kereta kebal dan meriam ke arah pusat bandar Gaza, mengakibatkan sekurang-kurangnya dua kanak-kanak terbunuh. 

Jumlah kematian kanak-kanak yang semakin meningkat mendapat kecaman masyarakat dunia malah kenyataan bersama dua pertubuhan bukan kerajaan, War Child dan Defence for Children International mendakwa lebih ramai kanak-kanak terbunuh berbanding pejuang. 

Agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga menyatakan sekurang-kurangnya 73 mangsa berusia bawah 18 tahun. 

Sementara itu, Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNRWA) membuka 49 sekolahnya sebagai tempat perlindungan untuk mangsa kawasan yang paling teruk diserang tentera Zionis. 

Menurut agensi itu, setakat ini lebih 60,000 penduduk Gaza mendapat perlindungan di institusi-institusi PBB.- AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/21

No comments:

Post a Comment