
Pengarah Media Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM), Mohammad Alherbawi, berkata sekurang-kurangnya lapan anggota masyarakat Palestin di sini kehilangan keluarga kerana terbunuh dalam operasi ketenteraan Israel.
Masih sambut Aidilfitri
“Jentera perang Israel menyebabkan kami tidak dapat menikmati kegembiraan pada hari yang mulia ini. Bagaimanapun, kami masih menyambut Aidilfitri dan berkumpul untuk membuktikan kepada dunia bahawa rakyat Palestin berhak untuk hidup seperti rakyat di negara lain di dunia,” katanya.
Beliau berkata, anggota masyarakat itu akan berkumpul untuk acara kecil-kecilan yang menampilkan ceramah dan sesi khusus untuk kanak-kanak.
“Terdapat kira-kira 3,000 orang Palestin di Malaysia ketika ini,” katanya.
Sementara itu, Muslim Imran yang sudah menetap di Malaysia kira-kira 10 tahun, mengaku bukan mudah untuk masyarakat Palestin menikmati kuih raya apabila rakan senegara mereka dibunuh beramai-ramai oleh rejim Zionis.
“Kebanyakan rakyat Palestin di sini memutuskan bahawa sambutan Aidilfitri tahun ini akan diadakan secara kecil-kecilan atau dibatalkan,” katanya yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah PCOM.
Anjur majlis khas
Beliau berkata, satu majlis khas mungkin dianjurkan bagi keluarga mereka yang terbunuh dalam operasi ketenteraan Israel.
Pengarah Eksekutif Yayasan Al-Quds Malaysia, Mohammad Makram Balawi, pula mengutuk Tel Aviv kerana melancarkan serangan pada Ramadan sehingga menyebabkan bulan mulia ini dicemari dengan darah rakyat yang tidak berdosa. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment