GAZA 27 Julai - Kira-kira 1.8 bilion umat Islam di seluruh dunia bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri esok sebagai menandakan kemenangan selepas sebulan menunaikan ibadah puasa.
Bagaimanapun, di Genting Gaza, keadaannya berbeza apabila kedatangan Syawal 'diraikan' dengan tangisan dan suasana penuh kesedihan berikutan serangan kejam Israel selama 21 hari yang meragut nyawa lebih 1,050 nyawa.
Lebih 100,000 pelarian Palestin terpaksa 'menyambut' lebaran di kem-kem serta kemudahan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang turut menjadi sasaran roket rejim Zionis sebelum ini.
Penduduk Gaza juga kebanyakannya tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka musnah sama sekali dibedil Israel.
Sambutan Aidilfitri juga tiada erti selepas mereka kehilangan orang tersayang dalam serangan rejim Yahudi itu ke atas kawasan perumahan penduduk Palestin.
Situasi di Genting Gaza juga masih tidak menentu apabila rejim Israel terus melancarkan serangan tanpa belas kasihan ke atas penduduk awam Palestin.
Seorang penduduk Islam, Sabreen al-Ziyara berkata, Aidilfitri tahun ini tidak bermakna sebaliknya Syawal akan disambut sebagai hari kemenangan buat penduduk Palestin yang syahid.
Israel sebelum ini menolak usul gencatan senjata selama tujuh hari sempena kedatangan Syawal bagi memberi kesempatan kepada penduduk Gaza menyambut Aidilfitri.
Tindakan itu jelas menunjukkan kebiadaban rejim Zionis tersebut yang langsung tidak menghormati bulan mulia penganut Islam.
Selain Malaysia, antara negara yang turut meraikan Aidilfitri esok adalah Singapura, Thailand, Arab Saudi, Thailand, Emiriyah Arab Bersatu, Amerika Syarikat dan Australia.
Aidilfitri dijangka disambut pada hari Selasa oleh penganut Islam di United Kingdom, Filipina dan Pakistan.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140728/lu_01/Kemeriahan-Syawal-direntap#ixzz38jZFZJRA
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment