• gaza

DUA puluh hari telah berlalu sejak serangan rejim pengganas Zionis di Gaza yang bermula pada awal Ramadan. Jumlah syuhada di Gaza makin bertambah. Hospital tidak lagi mampu menampung bilangan mereka yang tercedera. Bilangan wanita dan kanak-kanak yang dibunuh juga makin meningkat.

Kerosakan harta benda, bangunan dan tanah pertanian tidak dapat digambarkan. Setelah bangkit dari serangan sebelumnya yang mengorbankan ribuan nyawa, Gaza berdarah kembali, dan mereka memerlukan bantuan kita lebih dari sebelumnya.

Bagi Muslim, tuntutan untuk membantu saudara-saudara kita di Gaza adalah jauh lebih besar daripada tuntutan kemanusiaan, ia adalah manifestasi keimanan dan persaudaraan Islam.

Kita boleh membantu Gaza dengan banyak cara, di bawah ini disenaraikan lapan cara yang efektif bagaimana kita boleh bantu Gaza, sekali gus membuka jalan untuk membebaskan Palestin dan Masjid Al Aqsa daripada cengkaman rejim pengganas Zionis.

Memberi sumbangan harta: Mereka amat memerlukannya bagi membangunkan kembali kehidupan selepas peperangan ini berakhir. Sudah tentu dana yang diperlukan adalah bagi tujuan perubatan, pendidikan, makan-minum, pembangunan semula bangunan-bangunan yang dimusnahkan, pembelaan anak-anak yatim dan macam-macam lagi.

Sumbangan kewangan ini boleh disalurkan melalui banyak NGO di Malaysia yang amat aktif berperanan seperti Aman Palestin.

Berdoa: Doa adalah senjata mukmin yang paling efektif, terutamanya dalam waktu-waktu krisis. Antara doa yang diamalkan oleh Rasulullah adalah Qunut Nazilah. Jangan lupa doakan kemenangan umat Islam setiap kali selepas solat fardu dan juga pada kesempatan-kesempatan lain.

Boikot produk penyokong Zionis: Boikot adalah satu mekanisme efektif yang telah berjaya di banyak negara dalam memberi tekanan kepada Israel. BDS movement, sebuah gerakan anti aparteid yang berusaha keras untuk memboikot rejim pengganas Zionis melaporkan bahawa nilai eksport Israel berkurang dengan signifikan kesan daripada boikot.

Perbaiki kualiti ibadah: Seorang jeneral tentera Israel bernama Moshe Dayan pernah menyatakan dia hanya akan gentar bila umat Islam mampu untuk solat Subuh berjemaah di masjid sepertimana solat Jumaat. Ini adalah petunjuk bahawa Israel memahami hakikat agama ini, iaitu mereka hanya akan ditumpaskan oleh kelompok Muslim yang berkualiti. Maka kita mesti memulakannya dengan memperbaiki kualiti ibadah, diulang MESTI, terutamanya ibadah wajib. Ibadah sunat juga mesti dipertingkatkan. Biasakan diri kita dengan zikir-zikir dan bacaan al-Quran.

Lebih cakna tentang isu Palestin: Untuk memahami isu ini dengan lebih baik, tidak cukup sekadar kita beremosi pada waktu krisis berlaku. Namun, kesedaran bermusim ini lebih baik ada dari tiada. Kesedaran ini mesti diisi dengan maklumat yang sahih. Kita mesti mengetahui sejarah penjajahan Palestin, terutamanya sejak tahun 1948. Isu Palestin bukan sekadar isu serangan di Gaza.

Bacalah buku-buku yang membicarakan perkara ini secara ilmiah. Laburkan sedikit wang dan luangkan sedikit masa untuk memahami. Hadirkanlah diri ke program-program anjuran Aman Palestin yang memberi maklumat tentang Palestin.

Kempen kesedaran: Kesedaran tentang isu Palestin mesti dipromosikan seluas-luasnya. Gunakanlah apa sahaja medium komunikasi yang ada untuk menyedarkan masyarakat tentang kepentingan isu ini kepada umat Islam seperti Blog, Facebook, Twitter, YouTube atau apa jua medium yang ada.

Didik anak-anak dengan semangat pembebasan Al Aqsa: Isu Palestin juga mesti diterapkan dalam diri anak-anak. Bagi mereka yang telah berkeluarga dan mempunyai anak-anak, letakkanlah agenda cakna Palestin sebagai salah satu agenda utama dalam keluarga.

Boikot cara hidup Zionis: Akhir sekali, cara hidup tajaan rejim pengganas Zionis untuk melalaikan umat Islam seperti berhibur secara berlebihan, membuang masa dengan aktiviti lara, membazir dengan kemewahan melampau dan terlibat dalam pergaulan bebas tanpa batas mesti diboikot, jika kita benar-benar serius untuk membebaskan Al-Aqsa.

Kesimpulannya, iltizamkan diri dengan Islam. Insya-ALLAH, setiap langkah ke arah kebaikan yang kita buat, maka masa untuk pembebasan Al Aqsa juga akan semakin hampir.

Mohd Hisham Mohd Sharif
Aktivis ISMA Australia