Monday 28 July 2014

Gencatan senjata Israel hanya retorik - Hamas


GAZA/BAITULMAQDIS 27 Julai - Lanjutan gencatan senjata selama 24 jam yang dicadangkan Israel disifatkan hanya bersifat retorik kerana kegagalan tentera Zionis itu untuk mengundurkan aset pertahanannnya dari bumi Gaza.
Israel hari ini melanjutkan tempoh gencatan senjata kemanusiaan di Genting Gaza bagi tempoh 24 jam, namun pergerakan Hamas yang menguasai kawasan pesisir pantai itu menegaskan mereka hanya akan menerima gencatan senjata sekiranya tentera Israel meninggalkan wilayah itu.
Menteri-menteri Israel memberi isyarat bahawa peluang agak kecil bagi satu perjanjian komprehensif yang dapat menamatkan konflik selama 21 hari dengan Hamas dan sekutunya yang menyaksikan sekurang-kurangnya 1,056 penduduk di Gaza kebanyakannya orang awam terkorban dengan 42 tentera dan tiga orang awam Israel turut maut.
"Atas permintaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kabinet meluluskan gencatan senjata sehingga pukul 12 tengah malam hari Ahad (4 pagi waktu Malaysia Isnin).
"Pasukan Pertahanan Israel (IDF) akan bertindak terhadap sebarang pencabulan gencatan senjata,'' kata jurucakap Israel yang tidak mahu namanya didedahkan dalam satu kenyataan selepas sesi Kabinet di Tel Aviv tamat.
Kebanyakan pertempuran dihentikan selepas gencatan senjata berkuatkuasa semalam, namun tiga buah roket dilancarkan dari Gaza dan mengenai wilayah Israel selepas waktu Maghrib namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Semalam, penduduk Gaza mengambil kesempatan daripada tempoh gencatan senjata itu untuk mengeluarkan mayat daripada sisa runtuhan bangunan, menyimpan bekalan makanan tambahan dan membanjiri jalan-jalan selepas tempoh berkenaan berkuatkuasa pada pukul 8 pagi waktu tempatan (1 petang waktu Malaysia).
Sementara itu, usaha antarabangsa untuk menamatkan konflik dan memastikan gencatan senjata yang lebih lama di Gaza sedang diketuai oleh Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) John Kerry di Paris.
Kerry mengadakan pertemuan dengan Menteri-Menteri Luar dari Perancis, Itali, Britain, Jerman, Turki dan Qatar.
"Kami semua meminta pihak-pihak terlibat supaya melanjutkan gencatan senjata kemanusiaan yang sedang berlangsng,'' kata Menteri Luar Perancis, Laurent Fabius selepas mesyuarat itu. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140728/lu_03/Gencatan-senjata-Israel-hanya-retorik---Hamas#ixzz38javqFTI
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment