Thursday, 28 August 2014

Takbir ‘kemenangan’ bergema


‘Allahuakbar...Allahuakbar...Allahuakbar.’ Inilah kemenangan rakyat Gaza. Dalam takbir gembira mereka ada sendu tangis kerana dalam tempoh kira-kira tujuh minggu lalu lebih 2,000 nyawa warga Palestin diragut dek kekejaman rejim Zionis Israel.
Kini landskap Gaza sudah jauh berubah. Hampir seluruh bangunan sudah menyembah bumi. Hanya yang tinggal, sisa runtuhan, batu bata dan memori bersama insan tersayang.

Inilah wajah sebenar Gaza. Inilah hakikat pahit dalam manis yang terpaksa ditelan rakyat Gaza selepas mengakhiri peperangan ini dengan ‘kemenangan’. Mereka gembira, mereka ketawa, mereka bertakbir. Namun, dalam gembira mereka ada linangan air mata, dalam ketawa mereka ada esak tangis bersama.
Pengisytiharan gencatan senjata yang dipersetujui pejuang Hamas dan tentera Israel untuk jangka masa panjang sebagaimana diumumkan di Kaherah kelmarin dianggap satu kemenangan oleh rakyat Gaza selepas Israel akhirnya tunduk dengan 10 syarat yang diletakkan Hamas.

Sejurus pengumuman gencatan dibuat, suasana di Semenanjung Gaza bertukar wajah dan mereka semua berhimpun di jalan raya sambil bertakbir serta bertahmid terhadap Ilahi.

Meremang bulu roma apabila saya bersama-sama penduduk lain melaungkan takbir di jalanan sebagai menyambut ‘kemenangan’ ini.
Foto
KERIANGAN turut dirasai kanak-kanak dan remaja ini sebaik pengisytiharan gencatan senjata.
Takbir terus bergema di tanah Gaza dan di angkasa raya sebagai simbol syukur kepada Allah SWT.

Seorang penduduk, Soleh Jabrar, 32, menzahirkan rasa kesyukurannya dengan linangan air mata apabila gencatan senjata itu termeterai dan mengakhiri episod berdarah di bumi Gaza.
“Ini kemenangan perjuangan jihad kami, biar ribuan yang terkorban, namun pengorbanan mereka terbalas apabila rakyat Gaza secara keseluruhannya mampu meneruskan hidup sebagai individu merdeka.

“Mungkin episod kali ini sudah berakhir, mungkin juga ini bukan pengakhirannya, namun sekurang-kurangnya Israel akur dengan syarat yang dikenakan Hamas, termasuk membuka sekatan sempadan,” katanya.

Biarpun lebih 2,000 rakyat Gaza bergelar syuhada sejak tercetusnya Perang 10 Ramadan awal Julai lalu, kemenangan ini tetap ada maknanya kerana jihad rakyat Gaza terus digeruni Israel apabila tunduk dengan syarat yang diletakkan.

Mungkin ramai yang tertanya-tanya, mengapa Hamas mendakwa mereka sudah ‘menang’ sedangkan ribuan nyawa terkorban, manakala belasan ribu lagi cedera akibat peperangan ini? Infrastruktur bandar ini juga menyembah bumi. Adakah ini kemenangan? Ya, rakyat Gaza secara amnya mencapai kemenangan kerana persetujuan Israel mematuhi 10 syarat ditetapkan turut membabitkan berakhirnya kepungan di pintu sempadan dan ini membolehkan bekalan bahan mentah serta ubat-ubatan dapat diperoleh.

Hasil perbincangan gencatan senjata jangka panjang itu, Israel melaksanakan tujuh daripada sepuluh syarat, manakala tiga syarat lagi akan dilaksanakan dalam tempoh sebulan selepas gencatan senjata ini termeterai.

Saya dimaklumkan, tiga syarat itu yang akan dilaksanakan dalam tempoh sebulan antaranya pembangunan semula pelabuhan laut antarabangsa dan lapangan terbang antarabangsa yang akan dikawal selia oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Inilah erti kemenangan sebenar oleh Hamas serta rakyat Gaza. ini kerana jika Israel enggan bersetuju dengan 10 syarat itu, Briged Izudin Al-Qassam sedia untuk menggempur berhabisan biarpun titisan darah terakhir. Jadi, secara halusnya, rejim Zionis ‘tewas’ dengan perjuangan jihad rakyat Gaza. Alhamdulillah.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/28

No comments:

Post a Comment