Thursday 28 August 2014

Syarat gencatan senjata Israel-Hamas


Berikut terma dipersetujui yang antara lain melihat kedua-dua pihak bersedia membincangkan isu lebih kompleks termasuk pembebasan tawanan Palestin dan tuntutan Gaza untuk mendapat pelabuhan yang bakal dibincangkan bulan depan. 
Langkah segera: 

• Hamas dan kumpulan pejuang lain bersetuju menghentikan semua serangan terhadap Israel manakala Israel menghentikan semua keganasan udara dan darat.
Foto
PEMIMPIN kanan Hamas Mahmoud Al-Zahar (tengah), turut meraikan kejayaan kumpulan itu.

• Israel bersetuju membuka sempadan laluan dengan Gaza bagi memudahkan kemasukan barangan termasuk bantuan kemanusiaan dan barangan diperlukan untuk kerja pembaikpulihan.

• Dalam perjanjian dua hala berasingan, Mesir bersetuju membuka sempadannya seluas 14 kilometer di Rafah. 

• Pihak Berkuasa Palestin (PA) diketuai Presiden Mahmoud Abbas mengambil alih pentadbiran sempadan Gaza daripada Hamas. Israel dan Mesir berharap ia memastikan senjata dan barangan ‘dwi-kegunaan’ dihalang memasuki Gaza selain pemantauan ketat pengimportan bahan binaan supaya hanya digunakan untuk membaik pulih atau membina kediaman, bukannya terowong. 

• PA menyelaraskan pembaikpulihan di Gaza dengan penderma antarabangsa termasuk Kesatuan Eropah (EU), Qatar, Turki dan Norway. 

• Israel mengecilkan zon penampan keselamatan, kawasan yang dilarang untuk orang Palestin di dalam sempadan Gaza iaitu daripada 300 meter (m) menjadi 100m bagi memberi lebih akses ke kawasan pertanian di sempadan. 

• Israel meluaskan had penangkapan ikan di pesisiran pantai Gaza kepada 10 kilometer (km) daripada 5km dan tidak menolak kemungkinan diperluaskan lagi kelak. 


Isu jangka panjang: 

• Hamas menuntut pembebasan ratusan tahanan Palestin yang ditahan dalam siasatan penculikan dan pembunuhan tiga pelajar Yahudi Jun lalu - kejadian yang mencetus peperangan itu. 

• Fatah menuntut pembebasan tahanan lama dari Palestin yang dijanjikan sebelum rundingan damai PA-Israel gagal sebelum ini. 

• Israel menuntut Hamas dan kumpulan pejuang lain menyerahkan semua anggota dan barangan milik askar Israel yang terbunuh. 

• Hamas mahukan pelabuhan dibina di Gaza. 

• Hamas menuntut diberi dana yang dibekukan PA untuk membolehkan gaji tertunggak sejak tahun lalu dibayar kepada 40,000 anggota polis, pekerja kerajaan dan pentadbiran. 

• Israel mahukan Gaza bebas daripada sebarang kegiatan ketenteraan, cadangan yang disokong Amerika Syarikat dan EU. 

• Palestin mahukan pembinaan semula Lapangan Terbang Antarabangsa Yasser Arafat yang dibuka pada 1998 tetapi ditutup pada 2000 selepas dibom tentera Israel.- Reuters
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/28

No comments:

Post a Comment